Sunday, June 26, 2022

Selamat dan selesa belajar

Secara Rawak

SARATOK: Peranan dan fungsi guru tidak hanya tertumpu dalam sesi pembelajaran di dalam kelas semata-mata, tetapi juga berperanan dalam pembentukan sahsiah diri dan keperibadian setiap murid di bawah seliaan mereka.

Pegawai Perpaduan Bahagian Betong Thompson Ted berkata, guru juga adalah yang paling banyak berjasa dalam melahirkan generasi pelapis yang berjaya seterusnya akan memberi impak besar terhadap pembangunan negara.

“Oleh itu tema Guru Tunjang Sekolah Sejahtera bagi sambutan Hari Guru tahun ini amat bertepatan kerana profesion perguruan merupakan salah satu profesion mulia dan dipandang tinggi selain mempunyai tanggungjawab yang amat berat dan besar dalam usaha sesebuah negara melahirkan para ilmuan dan generasi pelapis.

“Malah bebanan tugas mereka juga bukan hanya tertumpu kepada sesi pembelajaran di dalam kelas semata-mata malah lebih dari itu.

“Seperti turut memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah dan keperibadian seseorang kanak-kanak yang belajar di taska ataupun tabika,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikanProgram Semarak Perpaduan Sambutan Hari Guru Kelas Tabika Perpaduan (KTP) dan Taska Genius Perpaduan (TGP) anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Betong di Dewan Pahlawan Tujuh, Kampung Bungin, Spaoh semalam.

Menurutnya, persekitaran yang harmoni harus sentiasa diwujudkan terutama di tabika dan taska kerana pusat ini menjadi pusat kegiatan pendidikan awal bagi kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan.

“Persekitaran yang harmoni juga seharusnya dititikberatkan di setiap taska dan tabika kerana kanak-kanak dapat belajar dalam suasana yang selamat dan selesa.

“Oleh yang demikian saya menggesa semua warga taska dan tabika perpaduan di Betong khasnya agar sentiasa mengutamakan suasana harmoni ini ditaska dan tabika di bawah seliaan masing-masing pada setiap masa,” jelasnya.

Terdapat enam Kelas Tabika Perpaduan (KTP) di Bahagian Betong dengan empat di Betong manakala masing-masing satu di Saratok dan Kabong dan sebuah Tabika Genius Perpaduan (TGP) juga terletak di Betong.

Penolong Pegawai Perpaduan Betong Mujahid Mohamad, Noor Hafifi Osman Naidin, Sylvester Watt Vinner dan Samsiah Sulaiman, Jurulatih Utama Kelas Tabika Perpaduan Betong Barbara Michael turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru