Monday, June 27, 2022

Ekonomi hijau pacu pendapatan

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak akan memacu pendapatan negeri melalui ekonomi hijau berteraskan tenaga yang diperbaharui dan kawasan penyimpanan karbon di bawah undang-undang tanah seperti yang telah dibentangkan pada Persidangan Dun Sarawak Ke-19.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, idea dan rancangan bagi pindaan undang-undang di bawah kanun tanah dan hak udara di atas Sarawak akan dikuatkuasakan bagi menyimpan karbon untuk ditanam di bawah tanah tanpa memberikan kesan yang buruk kepada alam sekitar.

“Dunia menghadapi masalah perubahan global. Oleh itu selepas pilihan raya yang lepas saya mencadangkan untuk mewujudkan kementerian yang baharu iaitu Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program N7 Samariang Hari Raya Aidilfitri bersama-sama Premier Sarawak di Hotel Grand Margherita malam kelmarin.

Abang Johari yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar menegaskan melalui dasar yang betul, sektor Ekonomi Hijau berteraskan tenaga yang diperbaharui melalui era digital pada masa ini bakal meningkatkan lagi pendapatan Sarawak.

“Di Sarawak kita mesti mempertahankan kehijauan alam sekitar untuk menangkap karbon yang dikeluar dan disimpan dalam tanah.

“Sebab itu, kita pinda tanah kita supaya ada rang undang-undang dan juga undang-undang yang membolehkan kita menyimpan karbon dalam kawasan tanah.

“Tidak banyak di dunia dapat “Store Karbon” antara yang dapat adalah di kawasan perairan tanah Sarawak, jika berlaku kita boleh “Store Karbon” dan siapa yang hendak menyimpan mesti bayar,” tegasnya lagi.

Terdahulu, pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ke-27 pada Sabtu, Abang Johari berkata bahawa rakyat Korea sudah menunjukkan minat untuk menyimpan karbon dioksida mereka di sini.

“Saya baru berjumpa mereka (Korea) semalam (20 Mei), dan mereka memaklumkan bahawa Korea mengeluarkan banyak karbon dan mereka mahu menyimpannya di negeri kita.

“Saya memberitahu mereka bahawa, selepas kajian teknikal dilakukan, dan apabila transformasi geologi membenarkannya dan dengan kapasiti yang ada, mengapa tidak?

“Ini akan menjadi satu lagi sumber pendapatan kepada Sarawak, justeru tidak perlu risau sekiranya Sarawak akan muflis seperti yang didakwa pihak tertentu sebelum ini,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru