Tuesday, August 16, 2022

Banteras judi dalam talian

Secara Rawak

MUKAH: Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan sentiasa komited menguatkuasakan undangundang dalam membanteras gejala penyalahgunaan dadah serta kegiatan judi dalam talian di sini.

Adun Tellian Royston Valentine berkata, pada masa yang sama, pertubuhan bukan kerajaan diharap dapat meneruskan pelaksanaan pelbagai program di peringkat akar umbi kerana kerjasama semua pihak amat penting.

Menurutnya, program pembangunan modal insan dalam pembentukan sahsiah diri melalui pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan juga harus sentiasa diteruskan.

“Penglibatan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Saberkas, Sarawak Volunteers, persatuan dan pertubuhan belia di seluruh bahagian serta banyak lagi badan lain yang aktif melaksanakan program di kawasan masing-masing perlu diberi suntikan dana agar banyak program berkaitan pembangunan modal insan dapat direalisasikan.

“Aktiviti pembangunan modal insan seperti ini harus diteruskan dan diadakan secara lebih kerap lagi pada masa akan datang.

Sediakan lebih banyak peruntukan untuk lebih banyak aktiviti bagi melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.

Royston memaklumkan bahawa pelaksanaan program sedemikian dapat mengawal gejala sosial dalam komuniti seperti penyalahgunaan dadah dan judi dalam talian yang semakin membimbangkan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Jabatan Belia dan Sukan Sarawak (persekutuan) yang telah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti pembangunan belia di Sarawak selama ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru