Saturday, June 25, 2022

60 ratu cantik dunia bakal berkampung di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Malam Penobatan Tiara Pertandingan Akhir Dunia Miss Tourism International (MTI) 2022 ke-25 yang akan berlangsung di Sarawak bakal menjadi kebanggaan dan menjadi tumpuan dunia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau percaya dengan komitmen yang ditunjukkan oleh penganjur acara tersebut akan dapat dijayakan dan menjadi ingatan semua pihak.

“Selepas kali pertama ia dianjurkan dahulu… selama ini ia dianjurkan di tempat lain di seluruh Malaysia dan ia adalah amat baik sekali apabila dapat dianjurkan semula di sini (Kuching),” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran MTI Pageant NFT, di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen dekat sini, kelmarin.

Kali pertama Sarawak menjadi tuan rumah acara tersebut adalah pada 1994 yang dimulakan oleh Presiden Miss Tourism International Tan Sri Datuk Danny Ooi.

Sehubungan itu, menjelas mengenai pelancaran platform NFT digital kelmarin beliau menambah, tujuh ratu cantik dari pelbagai negara adalah model yang baik untuk mewujudkan impak yang mampan, selain persediaan selama enam bulan sebelum acara yang sebenar dijalankan di sini.

“Ketujuh-tujuh model yang berjaya ini akan menempatkan laluan yang baik diikuti 60 ratu cantik dari seluruh dunia bukan sahaja tahun ini tetapi juga tahun-tahun yang akan datang,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bukan itu sahaja beliau menjangkakan pertandingan “Cats Around the World” yang akan dilancarkan bakal menjadi pelengkap sepanjang tempoh promosi sekali gus mempromosikan bandar Kuching.

“Ini akan menarik satu lagi kumpulan unik komuniti dari seluruh dunia melalui gabungan inovatif antara keindahan ratu cantik dan kucing (gambar bersama) – satu lagi idea hebat yang dihasilkan usahawan tempatan kita (Esther Law),” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebagai negeri tuan rumah mereka akan menyokong penganjuran acara hebat tersebut dengan ratu cantik dari seluruh dunia.

“Kita akan memastikan mereka membawa kembali kenangan dan berkongsi dengan rakan-rakan sekali gus membawa kesan ke mana mereka pergi untuk mempromosikan Sarawak ke negara masing-masing.

“Diharapkan agar beberapa siri aktiviti termasuk promosi, lawatan lapangan pelancongan, lawatan amal, fotografi, dan penggambaran tarikan pelancong di Sarawak.

Saya menjangkakan ini akan menjadi salah satu acara yang paling bermakna dan penting pada tahun ini,” katanya.

Menurut kenyataan, Pusingan Akhir Dunia MTI 2022 ke-25 akan diadakan pada 25 November jam 6.30 petang di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen dengan tema “Membawa Dunia ke Sarawak”.

YAST GROUP merupakan penganjur utama Pusingan Akhir Dunia Miss Tourism International (MTI) ke-25 bagi tahun 2022.

Acara akhir kemuncak akan berlangsung selama 18 hari dengan beberapa siri aktiviti promosi.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Hii Chang Kee dan Pengasas dan Pengerusi Yast Group merangkap Pengerusi Penganjur Pertandingan Akhir 25th Miss Tourism International World Final 2022, Esther Law, Pengurus Besar Raia Hotel dan Pusat Konvensyen Kuching, Nassarudin Naina Mohamed, Pengarah Pembangunan Yastech Sylvester Lee serta wakil yang lain.

Majlis tersebut juga turut diserikan dengan kehadiran MIT 2021/2022 dari Indonesia Jessy Silana Wongsodiharjo, Miss Tourism Cosmopolitan International 2021/2022 How Zo Ee, Miss Tourism Metropolitan International 2021/2022 Hoang Thi Huong Ly dan Miss Tourism Malaysia 2015 Xandria Ban.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru