Saturday, June 25, 2022

254 projek bekalan air diluluskan di Sarawak dalam RMK-12

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 254 projek bekalan air bernilai RM4.51 bilion diluluskan untuk dilaksanakan di Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata daripada jumlah itu, RM1.89 bilion daripadanya akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

“Ia melibatkan pelaksanaan empat projek baharu oleh Lembaga Air Kuching (LAK), empat lagi projek baharu oleh Lembaga Air Sibu (LAS) dan 190 projek sambungan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Manakala, Julaihi berkata sejumlah RM2.62 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membiayai 14 projek baharu dan 42 projek sambungan.

Katanya kesemua projek itu merangkumi kerja-kerja pembinaan loji rawatan air, tangki simpanan air, stesen pam penggalak dan pemasangan saluran paip.

“Apabila siap kelak, saya yakin kita dapat meningkatkan kebolehharapan dan memperluaskan liputan bekalan air,” katanya.

Sementara, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebuyau berkata sehingga kini liputan bekalan air secara keseluruhan di Sarawak mencapai 83.6 peratus.

“Ini meliputi 99 peratus kawasan bandar dan 66.9 peratus bagi kawasan luar bandar,” katanya.

Justeru, beliau berkata kementeriannya memerlukan peruntukan sebanyak RM21.24 bilion bagi mencapai liputan penuh bekalan air di seluruh Sarawak selaras dengan sasaran Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru