Saturday, June 25, 2022

18,000 penumpang bas hidrogen percuma di Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Program Bas Hidrogen Percuma yang mula diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak  pada Januari 2020  di bandar raya Kuching merekodkan purata  sekitar 1,000 penumpang sebulan.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Sri Lee Kim Shin, dari bulan September 2020 hingga April 2022, sebanyak 18,580 penumpang direkodkan walaupun bas tersebut hanya beroperasi pada laluan yang terhad.

“Objektif utama bas ini adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang aplikasi sel bahan api hidrogen dan juga untuk mengumpul data bagi menyediakan rancangan Sarawak untuk menggunakan bas pengantara menggunakan bahan api hidrogen dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan hari keenam, Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19, di sini hari ini.

Perkhidmatan  bas hidrogen itu disediakan secara percuma kepada kepada orang awam, yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan bas henti-henti yang beroperasi di bandar raya Kuching.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19, pihaknya telah berjaya memastikan bas dapat beroperasi pada tahap yang optimum.

“Ini telah memberikan pengalaman yang tidak ternilai untuk pasukan juruteknik tempatan, Sarawak Metro Sdn. Bhd. menjalankan penyelenggaraan dan memastikan bas hidrogen dapat beroperasi untuk orang awam,” ujarnya.

 Sementara itu, katanya program tarif tambang bas RM1 mendapat sambutan yang menggalakkan dengan jumlah kumulatif 4.5 juta penumpang bagi tempoh Mei 2020 hingga Februari 2022. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru