Wednesday, June 29, 2022

Tidak perlu cabar Akta Pembangunan Petroleum 1974

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan mencabar perlembagaan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, Akta Pelantar Benua (CSA) 1966 dan Akta Laut Wilayah (TSA) 2021 di mahkamah, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, ia merupakan hak Sarawak yang sudah termaktub dan jika pihak Kerajaan Persekutuan enggan meluluskan tuntutan dalam hal-hal terbabit, mereka boleh membawanya ke peringkat mahkamah.

“Saya bukan peguam, tetapi ia adalah hak Sarawak. Jika mereka fikir kita tiada hak, mereka boleh membawa kita ke mahkamah.

“Kami tidak kisah. Mereka boleh mempertikaikan apa yang kita dakwa berdasarkan Perintah dalam Majlis (Order in Council) 1954 mengenai perubahan sempadan,” katanya.

Abang Johari, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Parti SUPP Ke-25 di Kuching, kelmarin.

Adun Ba’Kelalan, Baru Bian di Dun kelmarin berkata, kerajaan GPS bertanggungjawab untuk mencabar Perlembagaan PDA, CSA dan TSA kerana hanya ia sahaja yang mempunyai locus standi untuk mengambil alih kes itu.

Mengenai perkara lain, Abang Johari berkata Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak boleh terus memperbodohkan rakyat dengan kenyataan ‘Sarawak akan bankrap’.

“Sehingga hari ini, ini tahun kelima saya sebagai Premier Sarawak.

“Tetapi kita tidak pun muflis, malah sumber pendapatan baharu semakin pelbagai.

“Hingga ke tahap kita mahu membentuk Tabung Kekayaan Berdaulat untuk menyimpan wang negeri demi masa depan rakyat Sarawak.

“Ini membuktikan kita boleh menguruskan ekonomi negeri.

Mana-mana akauntan tahu mesti ada kunci kira-kira.

“Apa-apa kewangan yang keluar, mesti ada amaun masuk,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru