Wednesday, June 29, 2022

Rela kekal aktif, berdaya saing

Secara Rawak

SARIKEI: Jabatan Sukarelawan Malaysia Sarawak (Rela) mengambil langkah proaktif memperkasakan peranan anggota bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Pengarah Rela Sarawak Abang Zulfikar Abang Raduan berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan anggota Rela kekal aktif dan berdaya saing selain sedar terhadap tugas dan peranan masing-masing.

Sehubungan itu katanya, pihaknya merangka strategi dalam memantapkan lagi peranan dan tanggungjawab anggotanya di seluruh negeri ini.

“Selain kursus pengenalan yang dianjurkan di peringkat daerah, kami juga mengadakan kursus asas, kursus lanjutan termasuk kursus lanjut untuk penjaga premis di seluruh Sarawak ini agar anggota kita bersiap sedia dengan tugasan yang diberi,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah-tamah anjuran Rela Sarikei, kelmarin.

Abang Zulfikar berkata, Rela Sarawak telah melancarkan beberapa program berbentuk kebajikan dengan melakukan pembaikan kecil melibatkan kediaman anggota di samping beramah mesra dengan komuniti setempat.

Program itu katanya, bukan sahaja membolehkan anggota turun padang tetapi juga memberi peluang kepada mereka menyedarkan masyarakat terhadap aspek keselamatan.

“Melihat prestasi Rela Sarawak terutamanya ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, anggota kami banyak yang sebelum ini tidak aktif tetapi kembali aktif kerana mahu memberi khidmat bakti untuk Sarawak.

“Malah mereka aktif melaksanakan pelbagai tugasan sewaktu PKP antaranya, kawalan parameter, melaksanakan sekatan jalan raya bersama agensi yang berkaitan,” katanya.

Timbalan Pengarah Rela Sarawak Muhamad Syafiq Fadzil turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru