Wednesday, June 29, 2022

Manfaat kepada pelajar Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) merupakan sebuah universiti yang dibina oleh kerajaan negeri dan milik Sarawak sepenuhnya, jelas Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee.

“Justeru, ia haruslah memberi manfaat kepada penduduk di negeri ini,” katanya kepada media pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Warga Sibu di Dewan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, semalam.

Menurutnya, pengurangan yuran pengajian di UTS bagi pelajar bumiputera sudah tentu dapat memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Ia juga satu usaha untuk membantu golongan kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Syukur kerana kerajaan bersetuju untuk memberikan biasiswa 50 peratus kepada pelajar bumiputera yang ingin menyambung pengajian di UTS.

“Manakala, tiada yuran dikenakan bagi kemasukan asas ke universiti ini bagi memberi peluang pelajar bumiputera untuk menyambung pengajian,” katanya.

Adun Nangka itu memaklumkan bahawa kemasukan asas penting kerana ia langkah yang baik untuk pelajar melanjutkan pelajaran sebelum ke peringkat seterusnya.

Jelasnya lagi, kini 52 peratus pelajar yang mendaftar ke UTS terdiri daripada pelajar bumiputera, sekali gus menunjukkan peningkatan yang baik.

“Namun begitu, UTS masih mengalami masalah berhubung kapasiti tempat tinggal bagi pelajar.

“Masalah kita sekarang adalah dari segi hostel. Kita tidak mempunyai hostel yang cukup untuk pelajar yang memerlukan tempat tinggal.

“Tempat tinggal diperlukan kerana pelajar yang menyertai kursus asas masih muda, lepasan tingkatan lima. Sudah tentu mereka memerlukan tempat tinggal,” tambahnya.

Beliau turut mengulas berhubung program yang diadakan bagi menyatukan warga Sibu yang menetap di Kuching.

“Saya menggesa warga Sibu untuk memberi motivasi kepada mereka yang berada di Sibu agar sedaya upaya mengubah nasib ke arah yang lebih baik demi masa depan masing-masing,” katanya ringkas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru