Monday, June 27, 2022

Kelebihan orang yang membaca buku

Secara Rawak

Ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Warga Media di sebuah hotel di Kuching pada malam 18 Mei 2022, Premier Sarawak antara lain menyarankan agar rakyat Sarawak mengamalkan tabiat membaca buku bagi memastikan kejayaan masa depan negeri ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan kepentingan kegiatan membaca dalam konteks bagaimana ilmu diperlukan untuk memajukan Sarawak. Beliau ialah contoh pemimpin yang turut mempunyai minat membaca yang mendalam. Tidak hairanlah di rumah beliau ada koleksi buku yang menarik dalam bidang yang diminatinya dan menjadi keperluannya sebagai pemimpin.

Saya percaya, ada daripada idea yang ditampilkan Abang Johari sejak menjadi pemimpin politik juga dipetik daripada mutiara ilmu daripada buku bermutu yang dibacanya. Ketika bercakap pada malam tersebut, kebanyakan yang menghadiri majlis itu ialah wartawan, pengamal media dan pemimpin politik. Sebagai wartawan dan pemimpin politik, memang wajar membaca banyak buku.

Bagaimana mungkin mereka dapat menjadi wartawan atau pemimpin yang baik kalau tidak membaca? Atau kalau sekadar bergantung kepada idea sendiri? Wartawan yang tidak membaca dapat dianggap hanya melebih-lebihkan bakatnya, sedangkan hakikatnya tidak ada wartawan atau pengarang hebat di dunia ini yang tidak rajin membaca. Hubungan menulis dan membaca adalah bagai kembar siam.

Sepatutnya, golongan ini berada beberapa langkah di hadapan rakyat dari segi pembacaan buku. Dengan itu, mereka akan berada beberapa langkah di hadapan rakyat dari segi idea dan pemikiran. Wartawan dan pemimpin politik zaman ini berdepan dengan khalayak yang semakin celik ilmu dan berilmu.

Jadi, jangan sampai berlaku, bagai ketam hendak mengajar anaknya berjalan dengan betul. Keperluan untuk wartawan dan pemimpin politik mempunyai ilmu yang luas dan mendalam memang mendesak jika mereka berazam menjadi wartawan dan pemimpin yang hebat. Bagi wartawan, bacalah sebelum anda menulis, dan bagi pemimpin politik, bacalah sebelum anda bercakap.

Tidak hairanlah ada yang berkata, “Today a reader, tomorrow a leader.” Anda perlu berhati-hati dengan pemimpin yang tidak membaca atau hanya membaca sedikit buku. Kita tentu tidak mahu pemimpin yang bebal atau tolol; sebaliknya generasi hari ini dan negara mendambakan pemimpin yang pintar, berilmu serta memiliki kebijaksanaan dan kearifan.

Tidak ada mana-mana wartawan atau pemimpin hebat yang tidak membaca buku. Anda boleh bertanya mana-mana wartawan dan pemimpin politik hebat, apa antara rahsia yang menjadikan mereka hebat?

Sudah pasti, satu daripada faktor yang memberi sumbangan kepada kehebatan ketokohannya ialah mempunyai minat membaca yang mendalam. Kalau hendak menjadi luar biasa pencapaian dalam pelajaran atau kerjaya, membaca merupakan satu prasyarat yang wajib dipenuhi.

Semua orang tahu bahawa mantan Premier Sarawak Almarhum Tan Sri Adenan Satem seorang pemimpin yang kuat membaca. Tengok bagaimana cara beliau berucap dan menyampaikan buah fikirannya? Tidak usahlah berangan-angan untuk menjadi wartawan atau pemimpin hebat kalau malas membaca atau hanya berminat membaca WhatsApp atau Facebook. Dengan membaca akan dapat membantu seseorang menjadi lebih komunikatif, kreatif dan ekspresif dari segi penggunaan bahasa.

Ini merupakan satu saranan dan gesaan yang perlu diberi perhatian berat oleh rakyat di negeri ini, bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi juga semua peringkat masyarakat. Kita tidak mahu pelajar kita hanya membaca buku teks atau membaca hanya untuk lulus peperiksaan.

Dengan pelbagai bentuk buku yang hadir di pasaran, pembaca sebenarnya mempunyai banyak pilihan. Mereka boleh memilih judul yang diminati, tidak kira genre kreatif atau bukan kreatif. Buku yang dipilih perlu sesuai dengan minat, cita rasa dan tujuan membaca.

Anda peru berazam untuk membaca sebanyak mungkin buku. Berapakah jumlah buku yang anda baca, tidak termasuk buku teks sepanjang mengikuti pengajian selama tiga atau empat tahun di universiti? Berapakah jumlah buku yang telah anda baca ketika usia anda mencecah 20 tahun, 30 tahun atau 40 tahun? Berapakah agaknya jumlah buku yang akan anda baca sepanjang hayat anda? Tidak mungkin anda dapat membaca setiap buku yang diterbitkan di negara ini, apatah lagi di dunia ini. Sebab, buku diterbitkan setiap 30 minit di dunia ini. Untuk membaca semua buku yang pernah diterbitkan, seseorang perlu 250,000 tahun membacanya. Jadi, kita perlu selektif.

Namun, adalah lebih menarik jika kita membaca pelbagai jenis buku. Maksudnya, bukan hanya membaca dalam bidang pengkhususan atau kepakaran kita. Contohnya, jika seseorang itu mengaji dalam bidang bahasa atau lulusan sejarah mereka tidak sepatutnya hanya membaca buku bahasa atau sejarah semata-mata. Untuk memperluas cakerawala pemikiran, pasti lebih baik kalau seseorang turut membaca buku dalam bidang lain, termasuk bidang antropologi, sosiologi, politik, ekonomi, hartanah dan sebagainya.

Sepatutnya setiap rumah mempunyai koleksi buku untuk dijadikan sebagai perpustakaan keluarga sagar setiap anggota keluarga daripada cucu kepada nenek dapat membaca buku dalam simpanan berkenaan. Kita perlu berusaha untuk memastikan bahawa setiap keluarga di negeri ini mempunyai koleksi buku masing-masing. Ingat, rumah atau kamar yang tiada buku adalah umpama tubuh yang tanpa roh.

Untuk itu, sudah pasti keluarga terbabit perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli sekurang-kurangnya sebuah buku sebulan, dan dalam setahun, mereka sudah mempunyai 12 judul buku. Dalam sepuluh tahun, perpustakaan keluarga berkenaan sudah mempunyai 120 judul buku. Kita perlu menjadikan aktiviti membeli dan membaca buku sebagai satu amalan di negara ini. Hanya dengan itu, kita dapat menyuburkan minat membaca sekali gus merancakkan industri perbukuan di negara ini.

Penekanan yang diberikan oleh Premier terhadap pentingnya membaca menunjukkan kesedaran beliau betapa pentingnya ilmu dan modal insan yang sentiasa gigih meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sebagai prasyarat penting untuk Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Seyogia diingatkan, tidak ada mana-mana negara dapat mencapai kemajuan tanpa ilmu, kemahiran, kepakaran dan teknologi. Untuk berjaya, sesuatu bangsa perlu membaca kerana bangsa atau rakyat yang tidak membaca pasti akan berdepan dengan masalah besar untuk bersaing dengan negara-negara lain. Ilmu dan teknologi baharu sentiasa diterokai dan disebarkan dengan begitu pantas.

Sesiapa yang tidak mengikutinya tentu akan tertinggal. Dikatakan Bill Gates membaca sekurang-kurangnya 50 judul buku setahun, manakala Mark Zuckerberg pula memaksa diri untuk membaca satu atau dua judul buku seminggu. Bagi golongan bibliholik, buku adalah segala-galanya.

Dalam era yang penuh dengan persaingan, ilmu pengetahuan penting untuk menjamin kejayaan. Kita memerlukan rakyat Sarawak yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam pelbagai bidang, terutama dalam bidang yang amat diperlukan untuk masa depan dari segi kelangsungan ekonomi, kemampanan sumber semula jadi, teknologi, dan seumpamanya. Rakyat yang berilmu dan memiliki kemahiran sesuai akan dapat menangani segala cabaran dan men memenuhi keperluan pada masa depan.

Justeru, perhatian perlu diberi terhadap bahan dan kualiti bahan bacaan yang dibaca. Adakah sekadar membaca komik, Facebook atau bahan dalam Internet? Percayalah, selepas bergelumang dalam bidang perbukuan untuk lebih daripada tiga dasawarsa, mereka yang hendak mendapatkan ilmu sebenar dan mendalam perlu membaca buku.

Bacalah sebanyak buku dalam bidang yang anda hendak menjadi pakar mungkin sehingga seratus buah buku atau lebih. Jika anda membaca buku dalam bidang berkenaan secara teliti dan serius, saya yakin bahawa anda akan menjadi pakar dalam bidang itu. Kini, kita sudah dapat membeli dan membaca buku dengan mudah, termasuk dengan memesan daripada Amazon dan Shopee.

Yang pasti, orang yang membaca buku dengan orang yang tidak membaca buku tidak akan sama dari segi pemikiran. Tin kosong tidak akan sama dengan tin yang berisi. Tin kosong akan banyak omong kosong manakala mereka yang penuh ilmu di dada, pasti dapat memberi sumbangan yang signifikan terhadap pemikiran bangsa. Kemajuan mana-mana bangsa sepanjang sejarah dunia, banyak dibantu oleh golongan pemikir, intelektual atau inteligensia. Buku dapat mencanai dan membentuk pemikiran kita. Mereka yang tidak membaca akan mengalami fenomena minda tertawan.

Buku telah mengubah nasib banyak orang di dunia ini. Dalam buku You’ve Got to read this Book: 55 People Tell The Story of the Book that Changed Their Life, memaparkan bagaimana kehidupan mereka berubah dengan membaca.

Mereka bukannya orang biasa, tetapi tokoh dan orang ternama di Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang dan profesion, termasuk politik, hiburan, psikologi, perubatan, perniagaan, dan olahraga. Buku bagi mereka telah memberi inspirasi dan motivasi sehingga akhirnya mereka menukilkan kejayaan dalam bidang masing-masing. Jadi, siapa kata buku tidak dapat mengubah nasib dan kehidupan kita?

Sesungguhnya, jika kita mahu negeri ini maju, kita memerlukan masyarakat yang membaca buku yang berkualiti dalam pebagai bidang. Kita memerlukan pemimpin yang juga banyak membaca agar mereka lebih berilmu, mahir dan pakar daripada rakyat.
Hanya dengan itu mereka dapat mengemukakan gagasan yang cerdas, cerdik dan bernas.

Bagi saya, jika anda ingin mencapai kejayaan, satu daripada prasyarat utama adalah dengan membaca bahan yang berkualiti dalam bidang kerjaya anda dan juga buku untuk membaiki diri.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru