Wednesday, June 29, 2022

Jelaskan kepada rakyat bantuan kerajaan

Secara Rawak

SPAOH: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah menggesa Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menjelaskan kepada rakyat mengenai program serta bantuan kebajikan yang disediakan oleh jabatan itu.

Beliau berkata, ia susulan masih ramai penduduk rumah panjang, kampung dan penempatan khususnya di kawasan luar bandar, tidak mengetahui tentang kewujudan dan fungsi Jabatan ini.

“Terangkan kepada mereka lapan kategori bantuan yang diberikan dan siapa yang layak untuk memohon dan bagaimana,” katanya dalam program Sejambak Kasih Gawai 2022 Bahagian Betong, di sini, Sabtu.

Uggah yang juga Adun Bukit Saban memberitahu, amat menyedihkan apabila ada di antara pemohon yang gagal dalam permohonan mereka disebabkan mereka telah memohon di bawah kategori yang salah.

Justeru beliau menegaskan bahawa kerajaan Sarawak mempunyai dasar sosial yang sangat inklusif dalam membantu anggota masyarakat yang kurang bernasib baik.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Awal Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Mohammad Razi Sitam menyatakan bahawa dari Januari hingga April tahun ini, JKM telah membelanjakan sejumlah RM81 juta untuk membantu 51,495 penerima bagi setiap bulan di seluruh negeri.

“Bagi Bahagian Betong, kita mempunyai 4,191 penerima yang telah menerima RM6.6 juta,” katanya.

Selain itu jelasnya, kerajaan juga telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM2.7 juta sempena Hari Gawai kepada 25,891 orang di seluruh negeri ini.

Beliau berkata ini termasuk 2,102 penerima daripada Bahagian Betong yang mana kerajaan memperuntukkan RM210,200 untuk tujuan itu. Pada majlis sama, Uggah menyerahkan bantuan berjumlah RM180 kepada 100 orang penerima Bahagian Betong sempena sambutan Gawai Dayak akan datang di Dewan SMK Spaoh di sini.

Setiap penerima akan menerima wang tunai berjumlah RM100 dengan hamper makanan bernilai RM80.

Hadir sama, Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Dr Richard Rapu.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru