Wednesday, June 29, 2022

Era terbaik pemerintahan Kerajaan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Lulusnya Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dan RUU Hutan (pindaan) 2022 menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh membawa perubahan kepada Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia testimoni jelas bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja mempunyai rancangan, tetapi proaktif dalam merealisasikannya.

“Bukan seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), tengok sahaja. Risau terhadap negara, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

“Tidak hairan kenapa mereka sedemikian kerana DAP sememangnya sebuah Parti Kebangsaan yang mendahulukan Malaysia daripada Sarawak.

“Berdasarkan laporan kewangan baru-baru ini, saya juga tertanya-tanya bila mereka akan memulakan Tabung Save Malaysia 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP, di ibu pejabat SUPP, di sini, kelmarin.

Tambahnya, berbanding dengan GPS, kerajaan berdamping dengan slogan Utamakan Sarawak demi memastikan rakyat dan negeri ini diutamakan.

“Sangat jelas kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membawa kepada pembentukan negeri lebih makmur.

“Ini termasuk kemerdekaan politik, kewangan, ekonomi digital, hidro hijau, tenaga solar dan tenaga hidrogen dan sebagainya.

Kita akan mempunyai Sarawak yang kukuh dan inklusif serta kemampanan terhadap alam sekitar.

“Sarawak berjaya membawa negeri ke era yang terbaik atas kepimpinan yang cemerlang,” katanya

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru