Sunday, June 26, 2022

Lapan barangan kawalan bersempena Gawai

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak lapan jenis barangan akan dikawal menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2022 bermula 29 Mei sehingga 4 Jun ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, skim ini dilaksanakan selama seminggu iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan,

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri yang terbabit dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa hasil dari pemantauan dan kutipan Bahagian Harga Barang Negara dan Bahagian Penguatkuasa.

“Ia juga mengambil kira faktor terkini perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Nanta, pihak KPDNHEP juga telah menentukan harga maksimum ini di peringkat pengeluar, borong dan runcit berdasarkan maklumat harga yang diperolehi daripada beberapa faktor.

Ia termasuk pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara dari tahun 2021 dan sehingga Mei 2022, pandangan agensi Kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa sesi libat urus dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut.

Antara barangan yang dikenakan kawalan harga termasuklah kepak ayam, cili kering, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), babi hidup (maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut),daging babi (daging dan lemak), ayam tua hidup dan kobis bulat.

Justeru katanya, pihak Kementerian ingin terus mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti ditetapkan,” katanya lagi.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP berserta maklumat yang lengkap ke talian 019-279 4317 / 019-848 8000 e-mel.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru