Saturday, June 25, 2022

Kanser mimpi ngeri wanita

Secara Rawak

STATISTIK Kementerian Kesihatan (KKM) pada Februari lalu mendedahkan seorang daripada sembilan wanita di negara ini berkemungkinan menghidap kanser.

 

Satu daripada sembilan? Satu fakta yang sangat menakutkan, umpama mimpi ngeri bagi golongan wanita!

 

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan pada 2021, kanser payudara dilaporkan menyumbang sebanyak 33.9 peratus berbanding 32.1 peratus pada 2016 daripada punca kematian, ketiga tertinggi di hospital kerajaan di negara ini.

 

Di Malaysia, kanser tersebut antara penyakit paling digeruni dan menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan wanita.

 

Sekiranya tidak dikesan dan dirawat dengan segera, sel kanser itu boleh merebak dengan pantas ke bahagian lain dalam tubuh seperti limpa, tulang, paru-paru dan hati.

 

Pada masa sama, kadar hidup pesakit dalam tempoh lima tahun selepas dikesan penyakitnya di Malaysia hanyalah sekitar 60 peratus berbanding 80 peratus di Singapura dan 87 peratus di Hong Kong.

 

Kebiasaannya, penghidap kanser payudara berusia 40 tahun ke atas.

 

Namun sejak akhir-akhir ini, keadaan itu semakin membimbangkan berikutan trend penghidap sudah berubah apabila lebih ramai wanita bawah 40 tahun didiagnosis menghidap kanser berkenaan.

 

Menurut Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Aqilah Othman, pada masa sekarang ramai wanita bawah usia tersebut didapati menghidap kanser payudara dan angka itu kian meningkat tanpa diketahui penyebabnya.

 

Jelas Dr Aqilah, secara umumnya sekarang ramai pesakit berusia antara 20 dan 40 tahun sudah didiagnosis kanser, malah ada pesakitnya menghidap kanser payudara walaupun baru berusia awal 20-an.

 

Trend membimbangkan apabila golongan muda lambat didiagnosis berikutan faktor usia membuatkan mereka tampil mendapatkan rawatan selepas berada pada tahap yang lebih serius.

 

Ini kerana, kebiasaannya gejala ini adalah sama ada benjolan pada payudara yang sukar untuk dikesan, malah jika hanya dengan memeriksa sendiri pada tahap awal, ia sukar dirasa sendiri, ia biasanya dianggarkan sudah berukuran lebih daripada 1.5 hingga 2.0 sentimeter.

 

Ini berbeza dengan wanita berusia lebih 40-an yang biasa melakukan ujian saringan mamogram kerana ia oleh dikesan awal sebelum ia membesar sehingga boleh dirasa sendiri walaupun saiznya kecil.

 

Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, wanita seawal usia 20 tahun disaran memantau kesihatan diri dari semasa ke semasa dan melakukan pemeriksaan sendiri di rumah bagi mengesan keadaan luar biasa pada payudara.

 

Pengesanan dan rawatan awal pada tahap satu dan dua mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi.

 

Menyedari hakikat ini, pelbagai kempen dianjurkan agensi kerajaan, swasta dan badan korporat bagi menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan memeriksa tahap kesihatan terutama payudara secara berskala.

 

Dalam pada itu, semua wanita boleh melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP), mengikut lima langkah tertentu.

  • Langkah 1: Berdiri di hadapan cermin dan lihat sebarang perubahan pada payudara.
  • Langkah 2: Rasa sebarang perubahan secara berbaring.
  • Langkah 3: Periksa puting untuk sebarang perdarahan atau lelehan.
  • Langkah 4: Rasa sebarang ketulan di bawah ketiak.
  • Langkah 5: Ulangi setiap langkah di atas untuk payudara sebelah lagi.

 

Jangan malu, malas dan takut untuk memeriksa payudara sendiri. Ingatlah bahawa risiko jangkitan kanser tersebut kini pelbagai dan sukar dijangka walaupun kita tidak pernah mempunyai faktor genetik jangkita.  Dalam pada itu, mula mengubah gaya hidup ke arah lebih sihat juga boleh mengurangkan risiko kanser payudara seperti mengelakkan makanan tinggi gula, berproses dan melakukan ujian saringan awal.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru