Wednesday, June 29, 2022

Ibu tunggal dapat bantuan berterusan

Secara Rawak

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) mempunyai beberapa bentuk bantuan secara umum untuk wanita khususnya keluarga, wanita dan ibu tunggal.

Adun Bekenu Datuk Rosey Yunus berkata, antara bantuan disediakan merangkumi Bantuan Geran Pelancaran dengan kadar RM5,000 seorang dalam bentuk peralatan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan mikro mereka.

“Sehingga April 2022, seramai 364 ibu tunggal menerima bantuan serta bimbingan JKMS dan masih aktif berniaga.

“Bagi inisiatif dijalankan melalui JKWS merangkumi pembiayaan caruman minimum berjumlah RM60 oleh Kerajaan Sarawak untuk Program Kasih Suri Keluarga Malaysia bagi ketua isi rumah berdaftar di bawah e-Kasih sebagai tujuan persaraan.

“Mereka juga digalakkan untuk menabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

Antara manfaatnya adalah insentif RM480 daripada Kerajaan Persekutuan, Bantuan Hilang Upaya RM5,000 dan Bantuan Khairat Kematian RM2,500,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing mengenai jumlah dan peruntukan serta jenis bantuan khas disediakan kepada ibu tunggal yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan mikro dalam Persidangan Dun Ke-19, Jumaat.

Tambah Rosey, JKWS juga menyediakan latihan dalam usaha meningkatkan ilmu dan kemahiran untuk meningkatkan ekonomi ibu tunggal.

“Latihan Kemahiran Wanita iaitu latihan kemahiran jahitan, kulinari, kecantikan spa dan urut bertujuan melatih para wanita khasnya terdiri daripada ibu tunggal, wanita berpendapatan rendah dan dari kalangan suri rumah.

“Program Lantunkan Kembali Perniagaan Anda merupakan latihan pengurusan perniagaan terdiri daripada pemasaran melalui media sosial, motivasi keusahawanan, dan taklimat reka bentuk dan pembungkusan produk.

“Pelesenan Usahawanan Wanita Sarawak (Puwas) program pelesenan bagi menyediakan usahawan wanita Sarawak mendaftar perniagaan dan lesen atau permit dagangan bagi melayakkan mereka menerima bantuan dan pinjaman pada waktu semasa dan pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, terdapat agensi lain turut membantu wanita termasuk ibu tunggal dalam bidang perniagaan mikro seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (Mintred), Jabatan Pertanian Sarawak, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Majlis Amanah Rakyat.

Selain itu katanya, melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di bawah kerajaan pusat antara inisiatif yang disediakan adalah Bantuan Khas Ibu Tunggal berjumlah RM300 secara sekali bayar semasa pandemik Covid-19 pada 2020.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru