Sunday, June 26, 2022

Harga barang naik 60 peratus

Secara Rawak

KEPALA sudah terhantuk dinding, kaki pula tersepak meja, demikian dapat digambarkan mengenai kehidupan masyarakat kini ekoran kenaikan harga barang keperluan.

Bulan Jun depan menjadi kebimbangan orang ramai apabila diramalkan melonjak naik, bukan 10 hingga 20 peratus tetapi melonjak sehingga 60 peratus.

Malah beberapa restoran makanan segera mengeluarkan notis mereka kekurangan bekalan kentang goreng kerana berlakunya penghantaran stok yang perlahan.

Ramai yang berkata konflik yang berlaku di Ukraine merupakan asbab kepada berlakunya kenaikan harga barang yang mendadak selain penghantaran bekalan makanan yang lembab.

Sebelum ini, manusia berdepan musuh halimunan iaitu Covid-19 dengan kemunculan pelbagai varian dan kemudiannya tercetus konflik tersebut.

Beberapa negara termasuk Malaysia beransur-ansur memulihkan ekonomi mereka namun tidak dapat terlepas daripada terpalit dengan masalah yang dihadapi ketika ini.

Semasa pandemik, sudah semestinya arahan duduk di rumah dikenakan selain jumlah pekerja yang berkerja juga dihadkan.

Tanah tidak dapat diusahakan, sekali gus tiada pengeluaran dapat dihasilkan manakala lambakan bekalan seperti sayursayuran pula dibiarkan menjadi buruk.

Selain itu, akibat perang, tiada industri yang berfungsi malah pekerja juga tidak turun bekerja kerana kebanyakan kilang pengeluaran tidak beroperasi.

Keutamaan pada ketika ini adalah pada perang serta rundingan damai antara pihak yang terlibat sementara negara yang bergantung kepada import makanan terus tersepit dengan dilema.

Bagi negara seperti Kanada, Amerika Syarikat mahupun Australia, yang mengeluarkan hasil beratus-ratus juta tan setahun tidak berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan.

Namun bagi negara dunia ketiga yang bergantung kepada import, sudah semestinya merasai bahang tersebut.

Melihat situasi tersebut, terdapat satu hantaran di media sosial mengajak orang ramai untuk mengusahakan pertanian kendiri ekoran keadaan yang meruncing ketika ini.

Ya, ia satu perkara yang baik dengan mengajak orang ramai untuk berkecimpung dalam sektor pertanian.

Kini orang ramai mula berebutrebut untuk mengusahakan tanah dengan bercucuk tanam untuk tujuan komoditi ataupun kegunaan sendiri.

Sambil penggunaan teknologi masa kini dan kaedah tanaman baharu, hasil pengeluaran dapat dilipatgandakan. Selain itu, ia juga memperkuatkan sekuriti makanan tanpa perlu bergantung eksport dari luar negara.

Tetapi sejauh mana ia menjadi realiti kerana tidak semua berkemahiran dalam bercucuk tanam, jauh sekali bagi mereka yang kali pertama memegang cangkul.

Amaran kenaikan harga barangan kerana kekurangan bekalan pernah dilaungkan namun orang ramai tidak begitu memahami gambaran yang cuba disampaikan.

Persoalannya, adakah sudah terlambat untuk orang ramai mula menyedari bahawa sektor pertanian kini merupakan satu kepentingan. Jawapan itu terletak pada kita sendiri sama ada kita bersedia atau tidak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru