Sunday, June 26, 2022

Dua lelaki ditahan curi kabel di Jalan Stakan

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Dua lelaki ditahan ketika disyaki mencuri kabel di Jalan Stakan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, kedua-dua suspek berumur 29 dan 30 tahun ditangkap anggota unit kereta peronda (MPV).

Menurutnya, pihaknya menerima satu maklumat mengenai jenayah mencuri kabel yang sedang berlaku di lokasi berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi.

“Bertindak atas maklumat tersebut, dua buah MPV yang menjalankan tugas rondaan Op Bersepadu Cegah Jenayah telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, anggota telah terserempak dengan dua lelaki yang sedang memotong kabel milik salah sebuah syarikat telekomunikasi di tepi jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sudirman berkata, kedua-dua suspek berjaya dikepung dan ditangkap serta menjumpai motosikal dan sebahagian wayar Telekom yang telah dipotong.

Katanya, anggotanya turut dijumpai pelbagai peralatan untuk memotong kabel.

“Antara barang yang dirampas, sebuah motosikal, dua bilah kapal, sebilah parang, seunit gergaji, seunit tukul, seunit pemotong wayar, seutas beg pinggang, seunit telefon bimbit dan segulung wayar yang telah dipotong,” jelasnya.

Katanya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah di bawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes mencuri kabel adalah penyumbang kepada meningkatnya kes jenayah harta benda di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada Januari sehingga April 2022 di Daerah Kota Samarahan.

Katanya, pihak polis yakin dengan tertangkapnya suspek-suspek ini akan menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel dan lain-lain kecurian dalam Daerah Kota Samarahan.

“Pihak polis telah meningkatkan usaha daripada sudut risikan dan operasi pencegahan jenayah untuk memastikan perlakuan jenayah terutamanya jenayah harta benda dapat dibendung dan pelaku jenayah di bawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru