Sunday, June 26, 2022

Baucar saringan kanser sempena Hari Ibu

Secara Rawak

KUCHING: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak menyasarkan 10,500 wanita di negeri ini merebut peluang mendapatkan baucar saringan kanser serviks dan kanser payu dara di Klinik Nur Sejahtera.

Pengarah LPPKN Negeri Sarawak Shahriah Saharom berkata, tindakan ini untuk pengesanan awal kedua-dua jenis kanser tersebut sempena Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita atau WCaRe.

“Kempen ini merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN dengan sasaran 85,000 wanita seluruh negara memperoleh manfaat bagi 2022.

“Sempena Hari Ibu bertemakan Kasih Ibu Selamanya, kami sasarkan sejumlah 10,500 wanita negeri Sarawak untuk merebut peluang mendapatkan baucar saringan bagi kedua-dua kanser ini,” katanya.

Perkara ini dinyatakan pada Majlis Sambutan Hari Ibu Tahun 2022 Peringkat LPPKN Negeri Sarawak dan Program Jelajah Kasih Keluarga yang disempurnakan oleh isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Antara tiga jenis kanser yang sering menyerang wanita adalah kanser payudara (33.9 peratus) diikuti kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Oleh itu, LPPKN Sarawak menggesa agar kaum wanita menjalani ujian pengesanan awal kanser reproduktif iaitu kanser serviks dan kanser payu dara dengan segera.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru