Sunday, June 26, 2022

Bantu ringankan beban Irsyad

Secara Rawak

KUCHING: Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengambil inisiatif membantu meringankan beban ditanggung Irsyad Iskandar Sukiman, pesakit lymphoma tahap empat bagi menampung kos rawatan.

Bantuan berupa wang tunai RM5,000 diserahkan oleh Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani di kediaman Irsyad Iskandar, 20, di Lorong Bunga Akasia 3, di sini.

Menurut Syaiful, YBR terpanggil untuk membantu Irsyad (bekas pemain badminton Sarawak) selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Mastuyah Abdul Wahab yang diterima pada 13 Mei lalu.

Katanya, jumlah kos perubatan keseluruhan dianggarkan RM150,000. “Prihatin dengan nasib Irsyad yang menghidap penyakit Hodgkin Lymphoma tahap empat sejak September lalu, diharapkan sumbangan yang diberikan ini dapat membantu kos rawatan penyakit yang sedang dihadapi.

“Dengan pemberian bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan beban yang kini ditanggung oleh keluarga Irsyad Iskandar serta dapat menampung perbelanjaan kos rawatan bagi menjalani Aggressive Chemotherapy selama tiga putaran,” katanya.

Manakala bagi ibunya Mastuyah, dia memaklumkan bahawa anak bongsu daripada lima beradik ini telah menjalani 12 sesi kemoterapi tetapi masih tidak menunjukkan sebarang tanda positif dalam melawan sel kanser.

Mencerita lebih lanjut, katanya, Irsyad yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, aktif bermain badminton sejak berumur sembilan tahun dan telah menyertai pelbagai pertandingan mewakili Sarawak dalam pelbagai kejohanan badminton.

“Disebabkan penyakit yang dihidapnya, Irsyad akhirnya berhenti bermain badminton pada tahun lepas walaupun telah memasang impian untuk menyertai Akademi Badminton Malaysia.

“Namun, Irsyad langsung tidak patah semangat untuk melakukan kemunculan semula pada suatu hari nanti jika penyakit yang dihidapnya sembuh demi ingin meneruskan minat dalam sukan badminton sehingga ke peringkat antarabangsa,” jelas ibunya.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Irsyad boleh menghubungi Mastuyah Abdul Wahab di talian 012-6161795 atau menyalurkan sumbangan ke akaun RHB Bank nombor akaun 16121700041570 atas nama Mastuyah Abdul Wahab.

Untuk rekod, YBR memperuntukan hampir RM500,000 sepanjang tahun 2022, bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi penerima.

Pemberian sumbangan ini adalah untuk pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru