Sunday, June 26, 2022

Vesel dan kru asing ceroboh pelantar tidak berpenghuni ditahan

Secara Rawak

KUCHING: Sebuah vesel nelayan asing bersama tujuh kru kapal ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki menceroboh dan mencuri di pelantar minyak tidak berpenghuni di Barat Laut Tanjung Kidurong, Bintulu, kelmarin.

Bot berkenaan berjaya dipintas oleh Maritim Malaysia selepas dikejar selama dua jam yang kemudiannya ditahan kira-kira jam 12.05 tengah hari.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Pelantar Merah.

“Maritim Malaysia turut menerima aduan daripada operator industri cari gali minyak dan gas berhubung aktiviti pencerobohan oleh bot-bot yang disyaki nelayan asing di pelantar-pelantar tidak berpenghuni.

“Bertindak atas aduan, aset-aset laut telah diatur gerak yang diketuai Kapal Maritim (KM) Arau dan Pesawat AW139,” katanya pada sidang media di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas, di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa KM Arau sedang melaksanakan operasi di sekitar perairan Bintulu, mereka telah menerima maklumat berkaitan aktiviti pencerobohan ke atas unmanned platform oleh vesel yang tidak dikenali.

Berikutan itu, katanya, KM Arau telah mengesan sebuah vesel nelayan tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan sekitar jam 10.30 pagi dari sebuah pelantar yang tidak berpenghuni di perairan Bintulu.

Tambahnya, vesel tersebut dikejar kerana cuba melarikan diri dan berjaya dipintas untuk tujuan pemeriksaan dan penggeledahan.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh tujuh kru termasuk tekong kesemuanya lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 22 tahun hingga 40 tahun dan kesemuanya ggal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

“Pihak penguat kuasa turut menemui beberapa peralatan milik pelantar minyak yang dilaporkan hilang oleh pengadu seperti tali kabel, pakaian coverall, selimut, telefon satelit, radio serta jaket keselamatan berada di atas vesel suspek dan disyaki dicuri oleh kru vesel terbabit dari pelantar tidak berpenghuni,” jelasnya.

Katanya, disiasat di bawah Seksyen 378 Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (AKTA 298).

Ujarnya, kesemua kru, vesel serta hasil rampasan ditahan dan diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Ditanya mengenai kejadian pernah berlaku sebelum ini, Zin Azman berkata ia kejadian yang baharu berlaku di perairan Sarawak.

“Kami mengesyaki kegiatan jenayah seperti ini akan berulang dan meningkat. Justeru, agensi akan meningkatkan lagi tugas pemantauan dan rondaan bagi mengelak perkara ini berlaku,” jelasnya.

Beliau mendedahkan, aktiviti pencerobohan dan vandalism oleh suspek ke atas peralatan logistik, teknikal, mesin serta barangan lain telah menjejaskan operasi pelantar.

Tambahnya, memotong dan mencuri kabel sumber tenaga dan perhubungan telah memberikan kesan yang besar kepada operasi dan produksi rantaian pelantar.

“Kami ingin mengingatkan orang ramai terutamanya komuniti maritim untuk memaklumkan sebarang aktiviti vesel mencurigakan yang berlegar di perairan kita.

“Tangkapan vesel asing ini adalah kejayaan untuk agensi, hasil kerjasama daripada orang ramai dan komuniti maritim,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru