Sunday, June 26, 2022

Teruskan usaha menuntut hak Sarawak demi kepentingan negeri

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak mesti meneruskan usaha bagi menuntut semua hak termasuk mendapatkan geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Adun Kota Sentosa Yap Yau Sin berkata, Sarawak juga perlu memastikan agar kerajaan Persekutuan telus dalam menyediakan maklumat mengenai formula perkongsian hasil 40 peratus menurut Perkara 112C dan sub-seksyen 2( 1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Secara ringkasnya, Jadual Kesepuluh merupakan perkongsian hasil yang perlu dibayar kepada setiap negeri berkenaan mengikut kadar yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun kita merupakan sebuah negeri pengeluar minyak dan gas, tidak dapat dinafikan bahawa negeri ini masih ketinggalan berbanding Malaya dari segi pembangunan infrastruktur dan ekonomi.

“Itulah sebab Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan penting kerana ia akan membenarkan kajian semula untuk dijalankan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak demi kepentingan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 bagi Penggal Pertama, di sini Jumaat.

Menurutnya lagi, Sarawak tidak boleh tertipu dan mempercayai bahawa semakan di bawah Perkara 112D hanya perlu mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan sahaja.

Tetapi, juga perlu mengambil kira keperluan kewangan dan hak negeri untuk pembangunan dan kemajuan holistik yang masih kurang berbanding dengan Tanah Melayu.

“Antara sebab Sarawak diperuntukkan geran khas di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah untuk memenuhi aspirasi dan keperluan Sarawak bagi pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang lebih cepat,” katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak juga perlu menegaskan kepada Kerajaan Persekutuan agar mengakui hak formula perkongsian hasil 40 peratus dalam rundingan berterusan ini.

“Sebarang salah tafsir daripada Kerajaan Persekutuan kerana tidak mengiktiraf kebolehgunaan formula perkongsian hasil 40 peratus akan membawa kesan buruk dalam mendapatkan hak perlembagaan Sarawak seperti yang telah dipersetujui 60 tahun lalu ketika membentuk Persekutuan Malaysia,” ujarnya.

Tegasnya, kerajaan negeri bertanggungjawab menegakkan hak Sarawak setelah diberikan mandat besar ketika pilihan raya yang lalu. Justeru, kerajaan digesa untuk mendapatkan semakan yang adil dan tawaran terbaik di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru