Friday, July 1, 2022

Jalan Hock Ming akan diturap

Secara Rawak

SIBU: Jalan Hock Ming di Sungai Bidut di sini akan diturap melalui projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris).

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai berkata, ini bagi kemudahan pengguna jalan raya serta penduduk setempat.

“Projek yang dibiayai oleh Marris ini juga akan memberi manfaat kepada pengguna feri kerana jalan ini juga menghubungkan ke pangkalan feri.

“Jalan Hock Ming kini sedang dalam kerja-kerja penyelenggaraan projek Marris,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Sempurai memberitahu, jalan tersebut akan diturap untuk kemudahan pengguna jalan raya terutama mereka yang menggunakan perkhidmatan feri di Dermaga Hock Ming untuk menyeberang ke seberang Sungai Rajang ke Kampung Hilir.

Terdahulu, pada Rabu, Sempurai telah memeriksa serta meninjau jalan tersebut yang kini sedang dalam proses penurapan.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew serta bahagian jurutera MDLBS turut serta.

Sempurai menambah, “Adalah baik untuk mendapatkan gambaran yang jelas di lapangan dan bertukar-tukar fikiran dan idea.”

Jelasnya, ada sedikit permintaan tambahan daripada orang ramai untuk penambahbaikan kawasan itu.

“MDLBS akan meneliti perkara itu sewajarnya. Saya akan terus turun padang untuk memastikan projek-projek majlis dilaksanakan dengan sewajarnya,” tegas beliau lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru