Saturday, June 25, 2022

Bazar Mara tarikan baharu Sarikei

Secara Rawak

SARIKEI: Bazar Mara yang memulakan operasinya Jumaat lalu, bakal menjadi salah satu lagi pusat tarikan baharu pengunjung ke bandar ini.

Pegawai Mara Daerah Sarikei, Muhamad Ikhwan Che Abdul Azizi berkata, lokasi itu menempatkan sebanyak 19 gerai termasuk makanan dan aneka jualan lain.

Beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam, gerai itu juga menyediakan 240 tempat duduk kepada pelanggan.

“Kewujudan gerai ini sebahagian inisiatif Mara untuk membantu peniaga menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati tapak baharu ini bukan hanya menyediakan persekitaran lebih bersih, moden dan selesa kepada peniaga dan pelanggan.

Lebih menarik apabila bazar itu memperkenalkan konsep nanas sebagai ikon Sarikei selain mengaplikasikan inovasi buah nanas dalam setiap juadah yang ditawarkan kepada pengunjung.

“Bazar baharu ini boleh dijadikan sebagai pusat hentian sehenti bukan sahaja kepada orang Sarikei tetapi juga pengunjung dari luar bandar ini.

“Malah mereka juga boleh menikmati aneka jualan dan makanan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, peniaga yang ditemui menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh mara selain meluahkan perasaan gembira kerana berpeluang menjana pendapatan di tempat baharu itu.

Peniaga Kedai Pencetakan, Mohd Zainul Ariffin Herman berkata, bazar itu mempunyai banyak kelebihan dan menyediakan pilihan kepada pengunjung.

“Di tingkat bawahnya ada gerai jualan makanan, tingkat atas pula ada pelbagai jenis perkhidmatan seperti kedai gunting rambut, fotografi, mini mart dan kraftangan, jualan kraftangan. Ada saya sendiri menyediakan khidmat pencetakan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mara kerana menyediakan ruang niaga yang cukup selesa kepada kami,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru