Sunday, June 26, 2022

Wujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi berproduktiviti tinggi

Secara Rawak

KUCHING: Dijangka lebih 200,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi akan diwujudkan menjelang 2030, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi berproduktiviti tinggi, peluang pekerjaan dan perniagaan dalam jangka masa panjang.

“Sebagai langkah segera untuk meringankan beban rakyat yang terkesan, termasuk golongan yang kehilangan pekerjaan, Kerajaan Sarawak melaksanakan lapan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) berjumlah RM5.7 bilion.

“Pakej BKSS ini termasuk pemberian tunai kepada kumpulan B40 untuk pengusaha kecil dan sederhana serta penangguhan bayaran sewa premis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Daro Safiee Ahmad berhubung tindakan Kerajaan Sarawak dalam mengatasi masalah rakyat yang kehilangan pekerjaan sepanjang pandemik ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-19 Sarawak bagi Penggal Pertama, di sini, pada Rabu.

Tambahnya, rekod Jabatan Tenaga Kerja juga menunjukkan bahawa seramai 5,932 pekerja dikenakan pengurangan gaji dari tahun 2020 sehingga 2021. “Jumlah pengurangan gaji dalam kalangan pekerja lebih tinggi iaitu sebanyak 3,756 pekerja sepanjang 2020 dan 2,167 pada 2021 berbanding bilangan kakitangan yang diberhentikan.

“Sepanjang dua tahun tersebut, majoriti kakitangan yang diberhentikan melibatkan industri hotel dan servis makanan iaitu seramai 2,772 orang, manakala 1,328 pekerja dalam sektor peruncitan dan jualan serta 1,030 bagi sektor pembinaan,” katanya.

Untuk makluman, seramai 3,002 rakyat Sarawak hilang pekerjaan pada 2020 dan 1,035 orang mengalami nasib yang sama pada 2021 semenjak berlakunya penularan pandemik.

Oleh itu, bagi mengurangkan isu pengangguran, Kerajaan Sarawak melaksanakan Latihan Pemantapan Graduan Sarawak (GETS) untuk pelajar di Sarawak.

Selain itu, Kerajaan Sarawak juga akan melaksanakan program Pembangunan Tenaga Kerja Industri dengan kerjasama daripada pemain industri bagi memberi latihan dalam industri.

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut mengadakan program seperti Program Pergi Luar Bandar (GRAP) dan Karnival Kerjaya bagi menyampaikan maklumat berkaitan peluang pekerjaan.

“Pada masa sama, keadaan ekonomi yang kembali pulih selepas Covid-19 turut mendorong lebih banyak industri melaksanakan program karnival kerja seperti Sarawak Oil Palms Berhad dan Sarawak Petchem Sdn. Bhd bagi memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru