Friday, July 1, 2022

Tokong Tua Pek Kong mercu tanda bandar

Secara Rawak

SIBU: Projek pembesaran Tokong Tua Pek Kong yang menjadi mercu tanda bandar Sibu di tebing Batang Rejang akan dilaksanakan.

Susulan itu, dua pontun dan satu tanjakan di Dermaga Jalan Temple akan dipindahkan ke Dermaga Pulau Babi bagi memberi laluan kepada projek pembesaran tersebut.

Konsultan projek daripada Kacapuri Architect, Liong Yong Chang ketika ditemui meninjau tapak itu berkata, pemindahan itu dilakukan setelah mendapat persetujuan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sibu dan Lembaga SungaiSungai Sarawak (LSS).

Jelas beliau lagi, pada Jumaat lalu pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek bersama dengan semua pihak yang terlibat.

Liong memberitahu, dalam mesyuarat tersebut semua pihak bersetuju memindahkan pontun dan tanjakan itu ke tempat yang dipersetujui JPS dan LSS.

“Jadi hari ini (Selasa), kita melihat tiga tempat yang dicadangkan dan pihak JPS dan LSS setuju dua pontun dan satu tanjakan dari Dermaga Jalan Temple dipindahkan ke Dermaga Pulau Babi,” katanya.

Kos pemindahan itu, tambahnya, akan dibiayai oleh pihak pengurusan Tokong Tua Pek Kong yang dijangka menelan belanja lebih kurang RM100,000.

“Pemindahan kedua-duanya adalah bagi memberi ruang kepada projek pembesaran Tokong Tua Pek Kong di tebing Batang Rejang yang akan dibina dengan kos antara RM4 juta hingga RM5 juta,” kata Liong lagi.

Difahamkan projek tersebut sebelum ini telah diluluskan pembinaannya pada 2010 namun berdepan dengan sedikit masalah sehinggalah Chieng tampil membantu.

Hadir sama ialah Jurutera Bahagian JPS Bahagian Sibu Rudi Abang Zamri.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru