Friday, July 1, 2022

Sistem CCTV lokasi panas akan dipertingkatkan

Secara Rawak

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan bekerjasama dengan Sarawak Multimedia Autoriti (SMA) untuk menambah baik sistem resolusi kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada di lokasi tumpuan panas.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha itu antara perkara dititikberatkan bagi membantu penguatkuasaan yang lebih ketat dalam membendung perlakuan vandalisme dan gejala laku musnah di sekitar Kuching.

“Resolusi CCTV sedia ada di Tebingan Kuching agak rendah, saya akan mencadangkan kepada SMA untuk membantu DBKU meningkatkan resolusi CCTV supaya mereka yang melakukan salah laku dapat dikenal pasti terus.

“Jadi ia dapat membantu pihak polis mengesan individu-individu terlibat, seperti identiti pengesanan wajah yang terdapat di beberapa kawasan di Malaysia,” katanya ketika dalam sidang media kes vandalisme di kolam air pancut Tebingan Kuching di bilik media Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Tambahnya, program kejiranan mesra juga akan terus dilaksanakan dengan menyeru masyarakat agar sama-sama menjadi mata dan telinga untuk membanteras aktiviti sedemikian.

“Orang ramai diseru membuat laporan segera kepada pihak penguat kuasa, untuk tindakan segera daripada pihak berkaitan.

“Untuk jangka masa panjang, DBKU sendiri telah mengadakan aktiviti-aktiviti program khas tentang kepentingan mencintai alam sekitar dan mencintai bandar raya tanggungjawab bersama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung kejadian vandalisme melibatkan air pancut yang berlaku di Tebingan Kuching.

Jelas beliau, usaha mengesan dua individu lelaki berusia lingkungan 30an disyaki bukan warga tempatan menerusi pasukan khas yang telah ditubuhkan hasil kolaborasi bersama DBKU dan lain-lain agensi.

“Kedua-dua suspek kini diburu dan menyeru masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh terus memaklumkan kepada kita.

“Kita bertegas dalam hal ini, sebagai faktanya pada bulan Januari polis menumpaskan satu kumpulan bukan saja terlibat dalam vandalisme malah kes pecah rumah.

“Berdasarkan rakaman CCTV, kedua-dua suspek merupakan individu berusia dipercayai berusia lingkungan 35 tahun ke atas dan kita percaya salah seorang daripadanya merupakan orang luar,” dedahnya.

Menurut Abdul Rahman, pada tahun 2020 hingga Mei 2022, anggaran kos kerugian kesan daripada laku musnah oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab adalah sebanyak RM332,000.

Ujarnya, salah laku itu merangkumi kerosakan penutup parit, papan tanda jalan, railing jejantas dan tepian sungai, tempat duduk dan bumbung perhentian bas, lampu jalan, pokok dibakar, tong sampah dibakar dan sebagainya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru