Sunday, June 26, 2022

RUU Kanun Tanah: Pembangunan darat, ruang udara dan laut

Secara Rawak

KUCHING: Cadangan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (pindaan) penting bagi memberi makna yang lebih menyeluruh dan komprehensif terhadap perkataan tanah.

Adun Bukit Begunan Datuk Mong Dagang (gambar) berkata, definisi tersebut apabila dipinda akan merangkumi benda yang terdapat di atas atau bawah bumi termasuk tanah, udara dan pesisir negeri.

“Oleh itu, undang-undang dan peraturan perlu diwujudkan untuk memudahkan pembangunan darat, ruang udara dan laut yang teratur untuk kepentingan dunia korporat, negara dan rakyat.

“Akan ada banyak pembangunan teknologi baharu yang tidak dijangkakan sebelum ini di ruangan baik darat, laut mahupun udara.  “Justeru, pindaan tersebut sangat sesuai dilaksanakan selari dengan pembangunan yang sedang berlaku ketika negara menuju ke arah Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Ke-19 bagi Penggal Pertama, sekali gus menyokong RUU yang dibentangkan, di sini, pada Rabu.

Pindaan tersebut turut memperuntukkan takrif baharu bagi penyimpanan karbon dan seterusnya menekankan makna Spektrum yang sepatutnya mempunyai makna yang sama seperti dalam Seksyen 6 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588).

Justeru katanya, pandangan jauh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memasukkan penyimpanan karbon di bawah Seksyen 32B baharu dalam RUU Kanun Tanah (pindaan) patut dipuji dan mendapat sokongan penuh.

“Saya percaya negeri ini mungkin merupakan yang pertama di Malaysia menyediakan peraturan untuk memastikan pembangunan dan pelupusan Karbon Dioksida (CO2) yang betul.  “Perlu diingat bahawa negeri kita juga merupakan pengeluar utama minyak dan gas yang mengeluarkan CO2 ke atmosfera.

“Justeru, pengenalan undang-undang dan peraturan penyimpanan karbon mampu menguatkuasakan semula firma Kerajaan Sarawak dan kesungguhan untuk menangani perubahan iklim,” katanya.

Mengulas lanjut, penyimpanan karbon sudah tentu boleh menjadi industri besar untuk negeri pada masa akan datang

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru