Sunday, June 26, 2022

Rekod baik lonjakkan S’wak ke tahap tinggi

Secara Rawak

KUCHING: Rekod baik perkhidmatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu membangunkan dan melonjakkan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi dalam semua sektor, kata Ketua Whip Dewan Undangan Negeri GPS Datuk Ibrahim Baki.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadikan Sarawak sebuah negeri lebih makmur, dinamik dan progresif di bawah pemerintahan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Dengan kebolehan, ketegasan, kecekapan dan kepintaran Premier kita, Sarawak berjaya meningkatkan tabung di negeri ini seperti cukai jualan ke atas produk petroleum yang mempunyai tambahan kira-kira RM2 bilion setahun.

“Justeru, kenyataan melulu seorang pemimpin parti pembangkang ketika menerajui Kementerian Kewangan bahawa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun tidak berasas,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok itu berkata demikian pada ucapan sulungnya sempena Persidangan Hari Ketiga Penggal Pertama Dun Sarawak Ke-19 di sini, semalam.

Beliau menambah, selain daripada rizab yang besar dan aliran hasil yang baik, Sarawak mempunyai kestabilan politik yang kukuh, banyak mineral, utiliti yang baik, tadbir urus yang baik dan integriti dengan penubuhan unit Integriti dan Ombudsman Negeri.

Katanya menerusi rakyat yang mesra dan perkhidmatan awam yang cekap, Sarawak telah menarik berbilion dolar dalam pelaburan langsung asing.

“Dengan menjana pendapatan baharu dan banyak peluang, Sarawak perlu menentukan dan menggerakkan pendekatan baharu untuk mengurus ekonomi kita.

“Saya yakin dengan kepimpinan tangkas Premier, dalam masa yang singkat ekonomi kita akan kembali ke tahap pra-pandemik dan Insya-Allah lebih baik, melonjakkan Sarawak menjadi kuasa ekonomi dan membawa Agenda Pembangunan kita ke tahap yang lebih tinggi, sampai kepada rakyat Sarawak di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga memuji inisiatif Kerajaan GPS dalam membina, mengukuhkan dan mempercepatkan ekonomi Sarawak.

“Bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga masa hadapan. Kita tidak boleh mengubah masa lalu kita tetapi kita boleh mengubah masa depan kita dengan pandangan jauh, wawasan dan kebijaksanaan.

“Tetapi kita perlu mengkaji dan memahami masa lalu dan dunia hari ini untuk menentukan dan melakarkan masa depan kita.

Ujarnya, Sarawak perlu berada di landasan yang betul dengan strategi yang betul, selari dengan trend global.

Malah katanya, ekonomi digital, ekonomi hijau dan ekonomi hidrogen juga menarik pelabur dengan pasaran global baharu.

“Ini adalah pengubah untuk Sarawak yang lebih progresif dan mampan. Ini akhirnya akan memberikan pulangan masa depan yang baik, banyak pekerjaan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru