Sunday, June 26, 2022

Pindaan RUU: Mendapat sokongan pembangkang

Secara Rawak

KUCHING: Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 mendapat sokongan anggota pembangkang khususnya Parti Sarawak Bersatu (PSB).

RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undangundang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Adun Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa memberitahu, pembentangan RUU ini merupakan detik bersejarah bagi Sarawak kerana ia memberikan definisi lebih komprehensif mengenai tanah berbanding negeri lain di Malaysia juga berbanding Kanun Tanah Negara.

“Saya terharu mendengar kerajaan dan ahli pembangkang menyokong RUU ini. Ia bagus untuk Sarawak. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Pada masa ini, Kanun Tanah Sarawak tidak termasuk kawalan ruang udara di atas tanah dan bumi, tetapi dengan pindaan ini ia baik untuk masa depan Sarawak secara keseluruhan.

“Saya percaya ini adalah langkah terbaik Kerajaan Sarawak kerana berpandangan jauh, dan ini bukan pandangan politik tetapi untuk masa depan Sarawak,” katanya ketika menyokong pindaan RUU semasa sesi perbahasan di sini, pada Rabu.

Turut menyokong pindaan tersebut Adun Ba’Kelalan Baru Bian dan tegasnya, beliau menyokong sebarang langkah mengurangkan pelepasan karbon dan melindungi alam sekitar.

“Menurut Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB), masyarakat mesti mencapai sifar bersih menjelang 2050. Bermakna pelepasan karbon buatan manusia dikurangkan kepada sedekat mungkin kepada sifar sehingga apa yang tinggal boleh diserap secara semula jadi atau diimbangi oleh penyingkiran karbon.

“Itulah yang diperlukan untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius atas paras praperindustrian untuk mengelakkan kebanyakan kesan perubahan iklim.

“Dengan pindaan ini, saya melihat bahawa Kerajaan Sarawak hanya melakukan yang terbaik untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih ini menjelang 2025. “Oleh itu, saya menyokong pindaan RUU ini,” ujarnya

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru