Saturday, June 25, 2022

Kenyataan Chong mengenai ‘Sarawak muflis’, tidak berasas- Lo Khere Chiang

Secara Rawak

KUCHING: Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang membidas kenyataan Chong Chieng Jen yang mendakwa Sarawak tidak lagi berdepan risiko kewangan ekoran pembatalan projek Transit Aliran Ringan (LRT).

Beliau berkata, kenyataan Adun Padungan itu merupakan tuduhan yang tidak berasas, seolah-olah ‘mempertahankan’ bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung isu Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun.

Beliau menjelaskan, Sarawak mempunyai rizab yang kukuh sebanyak RM29 bilion pada hari ini berbanding Pulau Pinang yang dakwanya hanya mempunyai rizab sekitar RM1.82 bilion pada 2020.

“Sebenarnya anggaran kos bagi projek jaringan pengangkutan awam yang kita rancang itu sekitar RM6 bilion berbanding projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang mencecah RM6.3 bilion.

“Berdasarkan analogi ini, Pulau Pinang yang akan terlebih dahulu muflis dan bukannya Sarawak,” katanya menerusi satu sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini.

Semalam, Chong memberitahu bahawa Sarawak tidak lagi berdepan risiko kewangan kerana Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membatalkan projek LRT di negeri ini.

Sehubungan itu, Khere Chiang menggesa Chong dan Guan Eng memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana memandang rendah negeri ini selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Persekutuan sekali gus membatalkan beberapa projek rakyat.

“PH mengurangkan tiga rancangan projek jambatan di Sarawak yang menelan kos jutaan ringgit malah mereka turut kurangkan peruntukan memotong rumput sebanyak RM1 juta kepada RM900 dari Kuching ke Lawas. Siapa Menteri Kewangan ketika itu? Beliau adalah Lim Guan Eng dari DAP,” katanya.

Tindakan itu menurut Khere Chiang menunjukkan DAP tidak berminat dengan Sarawak dan sepanjang 22 bulan pentadbiran mereka, pelbagai projek kecil dan besar di negeri dibatalkan.

“Janji yang dibuat untuk mengiktiraf dan mengembalikan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 tidak ditunaikan dan alasan yang diberikan mereka ialah manifesto bukan kitab suci,”katanya.

Justeru beliau menasihati Chong dan DAP Malaysia untuk menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat Sarawak sebelum menjejak kaki ke negeri ini lagi.

Terdahulu, pada 2019 ketika hadir satu acara di negeri ini, Guan Eng mengatakan Sarawak akan muflis sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus diberi mandat untuk mentadbir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru