Sunday, June 26, 2022

Graduan kolej vokasional boleh mohon IPT

Secara Rawak

KUCHING: Graduan Kolej Vokasional (KV) kini berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi susuai dengan bidang pengkhususan mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, graduan keluaran KV ini berpeluang melanjutkan pengajian mereka ke insitusi pendidikan tinggi (IPTA) atau IPT Swasta di seluruh negara.

“Ia kerana, graduan KV telah disasarkan sebanyak 20 peratus melanjutkan pelajaran mereka dalam pendidikan tinggi manakala 70 peratus bagi memulakan pekerjaan sebagai pekerja mahir dalam industri yang berkaitan dan 10 peratus disasarkan untuk menjadi usahawan muda,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simanggang itu berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Machan Allan Siden Gramong berhubung perancangan untuk menubuhkan sekolah ataupun kolej vokasional di Daerah Kanowit, pada persidangan DUN ke-19 Sarawak bagi Penggal Pertama, hari ini.

Menjelas lanjut katanya, bagi lepasan graduan VK yang memiliki Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga, pelajar ini boleh menyambung pengajian untuk menjalani kursus Operasi Latihan Vokasional (VTO).

“Dengan kursus ini, pelajar boleh menjadi tenaga pengajar di mana-mana pusat kemahiran apabila telah tamat belajar dan telah ditauliahkan pensijilan VTO.

“Selain itu, bagi pelajar yang mempunyai pensijilan SKM tahap tiga dan tamat belajar, pelajar ini oleh melanjutkan pengajian ke Institut Latihan Kemahiran awam dan swasta bagi mendapatkan SKM tahap empat,” jelasnya lanjut.

Sementara itu, berhubung perancangan penubuhan KV di daerah Kanowit, kata Harden belum ada perancangan bagi penubuhan sekolah atau kolej Vokasional di daerah tersebut.

Bagaimanapun katanya, pelajar-pelajar dari Daerah Kanowit yang berminat untuk melanjut pelajaran di sekolah atau kolej Vokasional bolehlah berbuat demikian di Kolej Vokasional yang terdekat di Sibu.

“Buat masa ini, Kapasiti keseluruhan bagi kolej vokasional di daerah Sibu adalah 680 pelajar,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru