Sunday, June 26, 2022

DBKU tambah resolusi CCTV kesan aktiviti vandalisme

Secara Rawak

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bagi menambah baik sistem resolusi kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada di lokasi tumpuan.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha itu antara perkara dititikberatkan bagi membantu penguatkuasaan yang lebih ketat dalam membendung gejala laku musnah di sekitar Kuching.

“Resolusi CCTV sedia ada di Tebingan Kuching agak rendah, saya akan mencadangkan kepada SMA untuk membantu DBKU meningkatkan resolusinya.

“Jadi ia dapat membantu pihak polis mengesan individu-individu terlibat, seperti identiti pengesanan wajah,” katanya ketika dalam sidang media kes vandalisme di kolam air pancut Tebingan Kuching di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, pada tahun 2020 hingga Mei 2022, anggaran kos kerugian kesan daripada laku musnah oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab adalah sebanyak RM332,000.

Ujarnya, salah laku itu merangkumi kerosakan penutup parit, papan tanda jalan, railing jejantas dan tepian sungai, tempat duduk dan bumbung perhentian bas, lampu jalan, pokok dibakar, tong sampah dibakar dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Jelas beliau, usaha mengesan dua individu lelaki berusia lingkungan 30-an disyaki bukan warga tempatan menerusi pasukan khas yang telah ditubuhkan hasil kolaborasi bersama DBKU dan lain-lain agensi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru