Sunday, June 26, 2022

Wanita pukul bapa kandung 86 tahun dengan batang penyapu

Secara Rawak

KUCHING: Gara-gara memukul bapa kandung berusia 86 tahun, seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh Yeo Ngang Sui, 50, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama, kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapa kandungnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah rumah beralamatkan Taman Poh Kwong, di sini, kira-kira jam 7.00 malam, 12 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana berkaitan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan bapa tertuduh telah dipukul menggunakan batang kayu penyapu oleh anak perempuannya semasa berlaku pertengkaran mulut.

Selain itu, tertuduh juga bertindak menolak dan memukul di bahagian kepala pengadu.

Akibat daripada pukulan itu, pengadu mengalami kesakitan di bahagian kepala dan tangan sebelah kiri.

Pengadu yang bimbang akan keselamatan diri kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Dua hari selepas kejadian, pihak polis berjaya menahan tertuduh di sebuah tandas awam di Jalan Masjid Padang Pasir, di sini.

Semasa sebutan kes, tertuduh memohon agar diringankan hukuman kerana ia merupakan kesalahan pertamanya dan menyesal akan perbuatan tersebut.

Selain itu, dia yang tinggal bersama ibubapanya mengaku mempunyai krisis keluarga.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru