Friday, July 1, 2022

Nostalgia Masjid Al-Qadim

Secara Rawak

SIBU: Jawatankuasa lembaga khas untuk Masjid Al-Qadim di sini akan ditubuhkan.

Demikian menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu di sini.

Katanya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengarahkannya untuk menubuhkan lembaga khas itu memandangkan Masjid Al-Qadim merupakan masjid tertua di Sarawak.

“Setelah diubah suai dan berwajah baharu, banyak orang bercakap mengenai masjid tersebut.

“Ini kerana masjid itu banyak membawa memori, kenangan dan nostalgia kepada masyarakat di Sibu amnya,” jelas beliau yang juga Adun Nangka.

Rentetan itu, beliau memberitahu telah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dengan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, jelasnya, proses penubuhan itu mengambil sedikit masa kerana ia perlu melalui beberapa prosedur tertentu.

“Selepas itu, ia akan dibawa ke kabinet untuk diluluskan bagi senarai jawatankuasa lembaganya.

“Apabila ia berjaya ditubuhkan kelak, lembaga masjid tersebut setaraf dengan Lembaga Amanah Kebajikan Sibu (Lakis),” katanya.

Sehubungan dengan penubuhan lembaganya kelak, Dr Annuar berkata, masjid itu nanti tidak dapat diroboh atau dipindahkan.

Tambahnya, ia akan kekal di bawah naungan lembaga tersebut termasuk lokasinya di Jalan Kampung Nyabor di sini

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Kaunselor Bujang Abdul Majid, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad dan Pengerusi Kelab MUC Sibu Anuar Taha.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru