Friday, July 1, 2022

Kerajaan Sarawak belanja RM25 juta baik pulih lima kubu bersejarah

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan sejak 2014 hingga 2020 telah membaik pulih lima kubu bersejarah di Sarawak dengan perbelanjaan RM25 juta.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan memberitahu, kesemuanya dibaik pulih menerusi program pemulihan dan menaik taraf kubu bersejarah oleh Jabatan Muzium.

“Pertama ialah Kubu Alice, Sri Aman yang dibaik pulih pada Disember 2014 dengan kos RM5 juta.

“Kemudian Kubu Emma, Kanowit yang dibaik pulih pada Disember 2019 dengan perbelanjaan RM5.5 juta.

“Tiga lagi pada 2020 iaitu Kubu Hose, Marudi (RM4 juta), Kubu Brooke, Julau (RM5 juta) dan Kubu Lily, Betong dengan kos RM5.5 juta,” katanya.

Adun Balai Ringin itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Adun Kalaka Mohamad Duri pada persidangan Dun hari ketiga, hari ini.

Jelasnya, apabila siap kesemua kubu terbabit akan dilengkapi dengan galeri yang memaparkan sejarah sosial perkembangan pekan serta masyarakat setempat sebagai tarikan pelancongan.

“Kubu Alice misalnya telah dijadikan Muzium Warisan Sri Aman, yang mana pengunjung boleh melihat dan memahami peranan pembinaan kubu, termasuk menghayati sejarah budaya masyarakat di kawasan itu.

“Begitu juga dengan Kubu Lily, Kubu Emma, Kubu Hose dan Kubu Brooke…akan dilengkapi dengan galeri sama.

“Ini kerana kubu-kubu ini menjadi daya tarikan yang mampu memberi pengalaman dan penghayatan sejarah sosial tempatan,” ujarnya.

Tentang Kubu Ranee di Saratok berusia 134 tahun dibina oleh Charles Brooke, Snowdan menyatakan ia dicadang untuk diwartakan sebagai salah satu bangunan warisan Sarawak.

Tambahnya, kubu tersebut memainkan peranan penting sebagai pejabat pentadbiran sejak dibina oleh Charles Brooke pada 1888.

“Justeru, kementerian dan Jabatan Muzium Sarawak sedang dalam usaha mencadangkan, sekali gus mewartakannya sebagai salah satu bangunan warisan Sarawak di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019,” katanya.

Memandangkan Kubu Ranee suatu ketika pernah dijadikan pejabat Majlis Daerah Saratok sebelum berfungsi sebagai Pusat Internet Komuniti pada 2014 hingga kini, kementerian akan berusaha memperoleh peruntukan bagi membaik pulih agar ia dapat dijadikan sebagai mercu tanda Saratok, sekali gus menjadi satu destinasi menarik yang patut dikunjungi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru