Sunday, June 26, 2022

Isu kerakyatan penting, perlu disegerakan

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak bersetuju bahawa perlunya bertindak segera berhubung permohonan daripada individu tanpa kerakyatan di Sarawak.

Menurut menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah, bagaimanapun keputusan tersebut terletak pada Kementerian Dalam Negeri di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.

“Ia melibatkan persekutuan di bawah Perkara 74 dibaca bersama dengan Perkara 5 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Kewarganegaraan kanak-kanak tanpa kerakyatan bukanlah perkara yang dibincangkan di bawah pelaksanaan Penurunan Kuasa (DOP) kerana isu kewarganegaraan sentiasa dipersetujui untuk menjadi perkara persekutuan,” katanya ketika menjawab soalan Adun Meradong berhubung isu kewarganegaraan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 bagi Penggal Pertama, di sini, hari ini.

Tambahnya, di Malaysia, kewarganegaraan ditentukan berdasarkan status perkahwinan dan status kewarganegaraan ibu bapa kandung individu ketika lahir mengikut ketetapan yang telah ditetapkan.

Manakala, bagi kelahiran yang berlaku sebelum pendaftaran perkahwinan ibu bapa, kewarganegaraan anak adalah mengikut kewarganegaraan ibu mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17, Bahagian III, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan.

“Isu anak yang dilahirkan di negara ini tanpa dokumentasi hanya akan timbul kerana ibu bapa tidak memainkan peranan sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab,” tegasnya.

Oleh itu, Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri ditubuhkan bagi memudahkan pertimbangan permohonan kewarganegaraan yang diterima di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak berkata kelahiran individu di negara ini tidak menjamin kerakyatan Malaysia.

“Justeru, kerajaan mengambil langkah untuk menangani isu kewarganegaraan melalui permohonan kerakyatan Malaysia.

“Terdapat dua kaedah untuk mendapatkan kewarganegaraan sama ada melalui pendaftaran atau naturalisasi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, program-program advokasi turut dijalankan dengan kerjasama agensi kerajaan di negeri ini melalui Majlis Pembangunan Sosial menerusi kementeriannya bagi memberi kesedaran terhadap isu kewarganegaraan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru