Sunday, June 26, 2022

Golongan muda digesa manfaatkan peluang

Secara Rawak

CLAUDIA Regina bersama-sama pemenang pertandingan Kumang Gawai Bukit Saban.

SPAOH: Bantu golongan muda mengenal pasti peluang yang berpotensi untuk diteroka, demikian gesaan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat kepada persatuan tuai rumah panjang yang sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyokong agenda kerajaan membangunkan negeri.

Menurutnya, platform persatuan sebegini merupakan pengaruh yang hebat untuk menarik penduduk luar bandar menerima semua rancangan dan program pembangunan.

“Justeru, saya menasihatkan agar tuai rumah panjang sentiasa mengetahui semua rancangan dan program kerajaan di kawasan masing-masing.

“Juga, dapat membantu mengenal pasti peluang yang boleh dieksploitasi oleh golongan muda seperti pertanian moden yang digalakkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas merasmikan Majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak Persatuan Tuai Rumah Panjang Spaoh yang diketuai Tuai Rumah Joseph Suat Andrew Mara yang dihadiri penduduk daripada 41 rumah panjang.

Jelasnya, untuk Daerah Kecil Spaoh yang merupakan sebahagian daripada kawasan pembangunan Agropolitan Bukit Sadok dan Bakul Makanan Betong-Mukah, potensinya amat besar.

“Disokong dengan pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) di Bebuling, ini berupaya mengangkut hasil ladang kita ke pasaran luar dengan cepat, serta dalam kuantiti yang banyak.

“Apa yang pasti rancangan dan program pertanian seperti ini untuk membantu penduduk luar bandar menjana pendapatan yang stabil demi taraf hidup yang lebih baik,” ujarnya.

Berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, Chuat mengharapkan sokongan berterusan rakyat untuk memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sokongan padu rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) cukup jelas, sehingga Datuk Amar Douglas Uggah Embas (Adun Bukit Saban) dilantik semula menjadi timbalan premier, manakala Adun Layar Datuk Gerald Rentap Jabu dan Adun Saribas Mohammad Razi Sitam masing-masing dilantik sebagai timbalan menteri.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini, sesuatu yang patut kita banggakan.

Apa yang penting kita harus meneruskan sokongan demi kesinambungan pada PRU-15 akan datang.

“GPS perlu sekali lagi disokong kuat untuk memastikan kerusi Parlimen Betong kekal menjadi kubu kuat parti yang memerintah Sarawak hari ini,” tambahnya.

Chuat dan isteri Datin Claudia Regina Janting pada majlis sama berpeluang menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kumang dan Keling Gawai Dayak Bukit Saban 2022.

Untuk gelaran Kumang Gawai diberikan kepada Adelle Eudora Klienah Ricky Adon dari Rumah Panjang Anyie Matop.

Sementara itu, Lulong dan Selinggar Matahari masing-masing menjadi milik Easter Jawai Paul (Rumah Panjang Lawrence Ludan Luban Ulu) dan Howldy Imbaq Robert @ Hollis (Rumah Panjang Philomena Kupa Nanga Paun). Manakala bagi takhta Keling dimenangi oleh Adrian Anja Georgie dari Rumah Panjang Luta Nanga Bong.

Dan, gelaran Laja dan Bungai Nuing masing-masing disandang oleh Jason Fender Sigat Empari (Rumah Panjang Mendit Penom) dan Edwin Edward Brayan (Rumah Panjang Denil Menyalin Baru).

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman dan Temenggong Bahagian Betong Richard Mulok turut hadir sama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru