Friday, July 1, 2022

Gawai Dayak yang lebih bermakna

Secara Rawak

SARATOK: Kemeriahan sambutan Hari Gawai Dayak kini semakin terasa.

Artis terkenal Iban, Leez Zwita, berkata, perayaan Hari Gawai Dayak tahun ini adalah perayaan yang cukup bermakna baginya.

Menurutnya, ia bukan sahaja kerana tidak dapat melakukan dalam suasana meriah seperti kebiasaan, dua kali sambutan sebelum ini, tetapi Gawai kali ini adalah sambutan yang pertama baginya setelah bergelar seorang ibu.

“Hari Gawai Dayak kali ini amat bermakna bagi saya, tambahan lagi kita telah berjaya berada pada fasa endemik.

“Berikutan itu ia telah membolehkan aktiviti-aktiviti hiburan diadakan dalam suasana yang agak normal.

“Seterusnya telah memberi ruang dan peluang kepada golongan-golongan artis seperti kami untuk kembali aktif.

“Selain itu, Gawai tahun ini juga merupakan sambutan pertama sejak bergelar seorang ibu,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak.

Beliau ditemui sebelum membuat persembahan bersama dengan seorang lagi artis terkenal, Urai Rosiana di Bazar Gawai Dayak Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Saratok 2022 di sini.

Sementara itu, Urai Rosiana juga menyatakan kesyukuran dan gembira apabila Hari Gawai tahun ini bakal dapat disambut dalam suasana normal.

“Sambutan Hari Gawai tahun ini sudah pastinya akan disambut oleh masyarakat daripada kaum Dayak dengan lebih meriah, jika dibandingkan dengan sebelum ini.

“Sebelum ini, kita tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan hasrat mereka yang berada di perantauan gagal untuk pulang ke kampung halaman.

“Akibat itu untuk meraikan Hari Gawai bersama-sama ahli keluarga tercinta tidak dapat dilakukan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada para peminatnya yang tetap setia walaupun lebih sepuluh tahun tanpa sebarang album.

Leez Zwita dan Urai Rosiana turut mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada semua peminat mereka dan seterusnya menyeru agar mereka sentiasa menitikberatkan keselamatan kesihatan dengan mengutamakan SOP yang ditetapkan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru