Sunday, June 26, 2022

Doktor pelatih harus dilayan sebagai rakan sekerja

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menubuhkan jawatankuasa penyeliaan atau inspektorat yang akan melawat hospital bagi mendengar maklum balas atau masalah yang dihadapi oleh kakitangannya.

Adun Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, lawatan tersebut juga boleh digunakan oleh KKM untuk berkongsi sendiri pengalaman yang dilalui kakitangan hospital terutamanya pelatih doktor supaya apa sahaja masalah yang timbul dapat diatasi.

“Dalam pada itu, setiap hospital awam di Sarawak harus menubuhkan satu unit untuk membantu pegawai perubatan menangani masalah emosi dan kesihatan mental serta kemurungan.

Adun Satok Datuk Ibrahim Baki

“Usaha ini penting bagi menangani isu buli terhadap doktor pelatih yang berlaku di negara ini,” katanya.

Ketua Whip Adun Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata demikian dalam ucapan sulungnya sempena Persidangan Hari Ketiga Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19 di sini, semalam.

Beliau turut mencadangkan beberapa langkah bagi menangani masalah tersebut termasuk untuk KKM menggubal atau menyediakan garis panduan mengenai penyeliaan graduan atau pegawai perubatan baharu.

“Doktor kanan dan pakar juga harus diberi latihan profesional yang betul tentang cara menyelia dengan yang bukan hanya bertujuan untuk menjadikan mereka doktor yang cekap.

“Doktor kanan pula harus melayan graduan perubatan dengan rasa sopan dan hormat. Mereka harus dilayan sama rata seperti yang biasa diamalkan di United Kingdom, Australia dan negara maju yang lain.

“Doktor muda harus dilayan sebagai rakan sekerja, bukan sebagai makhluk hina yang boleh mereka dera dan buli,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan KKM menetapkan bilangan jam maksimum bagi graduan perubatan atau pegawai baharu.

Menurutnya, isu tersebut bukan rahsia atau perkara baharu, ia telah menjadi sangat toksik dan menjijikkan sehingga kita tidak sepatutnya berpura-pura bahawa masalah itu tidak wujud.

“Layanan kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap doktor muda yang melakukan latihan di hospital harus dielakkan walau apa cara sekalipun.

“Justeru, amat penting untuk perkara betul dilakukan. Saya pernah mendengar kes doktor pelatih terpaksa menderita dari segi emosi dan mental sehingga sebahagian daripada mereka terpaksa dirujuk kepada pakar psikiatri.

“Malah ada yang terpaksa membayar balik biasiswa mereka. Dalam jangka panjang, masalah layanan buruk ini boleh membawa kepada kehilangan bakat dan kekurangan doktor pada masa hadapan.

“Ingatlah, bahawa sebahagian mereka ini merupakan pakar masa depan yang berpotensi dan menyumbang besar kepada negeri,” tambahnya.

Beliau turut menyambut baik pembentukan Pasukan Petugas Peningkatan Budaya Kerja Penjagaan Kesihatan oleh KKM yang baharu minggu lepas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru