Sunday, June 26, 2022

‘Cara Kampung’ yang diiktiraf dunia

Secara Rawak

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membuktikan ‘Cara Kampung’ berjaya memperjuangkan hak bumi kenyalang biarpun mendapat tentangan hebat daripada pihak pembangkang sebelum ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Jelasnya, usaha itu bukan sahaja mencapai penyelidikan secara menyeluruh malah mendapat pengiktirafan dunia selepas baru-baru ini Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijemput untuk membentangkan kertas kerja di Hidrogen Summit 2022 di Roterdam.

Selain daripada itu katanya, pembangkang sebelumnya turut meragui usaha Kerajaan Sarawak memperjuangkan hak Petronas dengan membawa perkara tersebut ke mahkamah namun perkara sebaliknya yang berlaku.

“Cara kampung kita ialah memperjuangkan hak Sarawak walaupun kemungkinan semua menentang kami dan GPS telah membuktikan kejayaan menerusi pencapaian yang dikongsikan dari semasa ke semasa.

“Pembangkang meragui kami apabila kami membawa petronas ke mahkamah. Kita semua tahu bagaimana keadaannya,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Tegasnya, GPS amat memandang serius terhadap manifesto dan komited untuk melaksanakannya demi memberi manfaat kepada rakyat dan melaksanakan tugas GPS untuk Rakyat.

Tambahnya, manifesto GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu telah dilaksanakan secara berterusan dengan ditambah cetusan idea baharu khususnya memperkasakan usaha memulihara dan melindungi
alam sekitar.

“Saya memuji usaha kerajaan negeri untuk merumuskan sendiri dasar iklim tidak lama lagi yang memberi tumpuan mengenai tenaga hijau iaitu tenaga hidro, tenaga suria dan hidrogen.

“Ini menunjukkan komitmen yang sangat jelas oleh Premier Sarawak untuk memelihara alam sekitar kita,” katanya.

Ujarnya, sistem dunia yang sedia ada akan membolehkan Sarawak menyumbang kepada pengawalan kuantiti pengeluaran karbon dioksida (CO2) dunia sekali gus memberi jalan dalam menjana pendapatan untuk Sarawak.

“Pendapatan yang boleh kita gunakan untuk membangunkan tenaga bersih. GPS komited untuk melaksanakan ini seperti istilah dalam manifesto kita. Malah kita sedang menggubal dasar ke arah ini,” jelasnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru