Friday, July 1, 2022

675,077 pengundi baharu di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak menyaksikan pertambahan 675,077 pengundi baharu berikutan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya, pertambahan tersebut sekali gus menjadikan seramai 1,927,750 pengundi di negeri ini setakat 31 Disember 2021.

“Sebelum suku keempat 2021, terdapat 1,255,113 pengundi di Sarawak. Daripada jumlah ini, terdapat 143,609 (20.9 peratus) daripadanya merupakan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

“Sementara 310,391 (45.2 peratus) daripada pengundi berusia 21 hingga 29 tahun dan 132,022 (19.23 peratus) daripada pengundi berusia 30 hingga 39 tahun,” katanya dalam perkongsian di Facebook di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian berkongsi statistik terbaharu itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa sesi taklimat bersama wakil rakyat negeri pada Isnin di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menurut Menteri Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan itu, ia sekali gus menyaksikan pertambahan lebih 6,000 pengundi baharu di 39 kawasan.

“Sementara 25 kawasan lagi pertambahan antara 6,000 hingga 12,000 pengundi, 15 kawasan pilihan raya dengan antara 12,000 hingga 18,000 pengundi dan satu kawasan dengan antara 18,000 hingga 24,000 pengundi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya Senadin, Tupong, Lambir, Dudong, Kota Sentosa, Batu Kawa, Pantai Damai, Batu Lintang, Pujut, dan Samariang berada dalam 10 kawasan pilihan raya teratas dengan jumlah pengundi terbanyak.

“Senadin menyaksikan peningkatan daripada 34,274 pengundi kepada 67,904 pengundi; Tupong daripada 26,120 pengundi kepada 51,335 pengundi; Lambir daripada 19,911 pengundi kepada 38,277 pengundi dan Dudong daripada 35,061 pengundi kepada 52,062 pengundi.

“Kota Sentosa daripada 28,355 pengundi kepada 45,422 pengundi; Batu Kawa daripada 20,719 pengundi kepada 37,765 pengundi; Pantai Damai daripada 20,578 pengundi kepada 37,527 pengundi; Batu Lintang daripada 29,735 pengundi kepada 46,150 pengundi; Pujut daripada 27,593 pengundi kepada 43,774 pengundi dan Samariang daripada 21,438 pengundi kepada 37,609 pengundi,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru