Friday, July 1, 2022

Vandalisme cabaran utama laksanakan pembangunan

Secara Rawak

SEBUYAU: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi mengakui antara cabaran melaksanakan pembangunan kemudahan asas di negeri ini berkaitan jenayah vandalisme.

Menurut Adun Sebuyau itu, perkara tersebut juga merupakan cabaran besar kepada dalam menyediakan kemudahan asas berkaitan elektrik dan telekomunikasi. “Saya ingin tekankan isu vandalisme ini khususnya berkaitan dengan kemudahan bekalan elektrik dan telekomunikasi yang banyak menggunakan fiber optik.

“Kerana kita juga berhadapan kehilangan besi, kabel dan sebagainya. Perkara tersebut boleh mengganggu bekalan elektrik dan kemudahan telefon. “Justeru, cabaran kita mendidik masyarakat agar tidak menganggu kemudahan kabel fiber otik dan sebagainya supaya semua pelaksanaan projek bekalan elektrik, air dan telekomunikasi dapat berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Raikan Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Dun N.27 Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau, semalam.

Menjelas mengenai bekalan air bersih dan terawat katanya, terdapat beberapa projek bekalan air kini berada dalam fasa pelaksanaan. Ujarnya, memang kirakira 16 peratus kawasan yang perlu disasarkan untuk mendapatkan bekalan air bersih dan terawat. “Kalau kita lihat grid sistem yang dilaksanakan di kawasan Selatan Sarawak – di Samarahan sehingga Sebuyau itu adalah sebahagian daripada projek grid sistem di peringkat akhir.

“Jika ia siap kelak, dapat mengurangkan peratusan yang kita sasarkan. Banyak projek sedang berjalan sekarang,” kata beliau. Dalam perkembangan lain, menjawab mengenai cadangan menubuhkan perkhidmatan telekomunikasi negeri ini, Julaihi memberitahu perkara tersebut memerlukan masa dan perku dilihat segala kemungkinan yang berlaku pada masa akan datang.

Katanya lagi, perkara tersebut melibatkan banyak perkara seperti melihat dari segi ruang udara serta mengambil kira spektrum. “Bagaimanapun, kita perlu tunggu dan melihat perkembangan yang selanjutnya. Mungkin ada pindaan Rang Undang-Undang (RUU) yang sesuai untuk kita mengembangkan kemudahan tersebut pada masa yang akan datang. “Justeru, saya tidak boleh kata ya atau tidak’,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru