Friday, July 1, 2022

Sedia berkhidmat bila-bila masa

Secara Rawak

PUSA: Kemenangan bergaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyapu bersih 31 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) amat penting bagi meneruskan agenda pembangunan Sarawak yang lebih jauh.

Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, momentum kecemerlangan GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) harus dikekalkan. “Maka, pastinya harapan kita pada PRU-15 sama juga.

Insya-Allah kesemua 31 kerusi cuba disapu bersih. “Kerana, kita hendak meneruskan agenda pembangunan negeri yang lebih jauh bukan sahaja hingga 2030, tetapi juga selepas itu,” katanya.

Timbalan Ketua Wanita II Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parlimen Batang Lupar di Dataran Tandang Sari, pada Isnin.

Rohani ditanya mengenai ketersediaan dirinya untuk menggalas amanah jika diberikan peluang bertanding pada PRU15 oleh pucuk pimpinan GPS, menyatakan sedia berkhidmat. “Kita sedia berkhidmat pada bila-bila masa.

Namun, apa-apa pun keputusan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung calon, kita akur kerana lebih penting perjuangan dalam parti,” ujarnya.

Berhubung sayap baharu PBB iaitu Gerak PBB 1828, Rohani menyarankan agar setiap jentera parti di setiap cawangan mula bergerak untuk menarik belia berusia 18 hingga 28 tahun menyertai PBB dan GPS.

“Saya juga menggerakkan jentera parti untuk mengajak belia menyerta sayap baharu tersebut. Ini kerana mereka secara automatik menjadi pengundi dan kita tidak tahu siapa mereka. “Justeru, penting ambil nama mereka, bawa bersama-sama untuk menyertai Gerak PBB 1828,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru