Friday, July 1, 2022

Raba buah dada pelajar: Pemandu bas dipenjara 4 tahun

Secara Rawak

KUCHING: Seorang pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana melakukan amang seksual dengan meraba buah dada seorang remaja perempuan, 14 April lalu.

Tertuduh, 47, membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama, dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Jalan Matang, Depo Link, kira-kira jam 1.18 petang, 14 April lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Semasa sebutan semula kes, tertuduh merayu diringankan hukuman kerana tidak mendapat pampasan dan pencen bulanan untuk menyara kedua-dua ibu bapanya.

Selain itu dia perlu menyara seorang anak berusia 17 tahun yang tinggal bersama mereka hasil perkahwinannya dengan bekas isteri.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki telah ditangkap kerana melakukan amang seksual terhadap seorang remaja sekolah dengan meraba di bahagian dada.

Kejadian terbabit dikatakan berlaku ketika remaja berkenaan baru pulang dari sekolah menuju ke rumahnya di Jalan Matang, Depo Link.

Semasa kejadian, mangsa telah didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali berpura-pura hendak bertanyakan sesuatu kepada mangsa.

Lelaki terbabit kemudian meraba bahagian dada mangsa lalu melarikan diri.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru