Friday, July 1, 2022

Pemantauan berterusan dilaksanakan di ladang-ladang sawit

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 567 ladang telah diperiksa oleh Jabatan Tenaga Kerja bermula Januari sehingga April 2022 bagi menangani isu pekerja tanpa permit di Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata pemeriksaan tersebut merupakan langkah berterusan dan bertumpu kepada kawasan ladang di pedalaman.

“Sementara, pada tahun 2021, sebanyak 712 buah ladang telah diperiksa sebagai langkah menangani bilangan pekerja tanpa permit yang bekerja di ladang-ladang sawit di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Balingian Abdul Yakub Arbi berhubung isu kemasukan pekerja tanpa permit di ladang sawit ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 Sarawak bagi Penggal Pertama, di sini, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga mengambil langkah-langkah susulan bagi memastikan perkara sedemikian dapat diatasi.

Pihak kerajaan telah melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) dan Rekalibrasi Pulang (RP) di Sarawak melibatkan
Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sarawak dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Program RTK meregularisasi PATI sedia ada sebagai pekerja asing yang sah untuk digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.

“Di bawah program ini, seramai 1,479 PATI telah didaftarkan di bawah sektor perladangan dan ini merupakan sektor utama yang terlibat dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Melalui program RP, seramai 635 PATI telah dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi membanteras kemasukan warga asing secara tidak sah, Operasi Benteng (Op Benteng) yang diketuai Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diadakan.

Semenjak Op Benteng mula dilaksanakan pada 22 Mei 2020 di Sarawak, seramai 95 PATI telah ditahan dan 415 PATI diusir.

Manakala, Jabatan Imigresen juga membuat operasi mengejut di tapak pembinaan kilang dan ladang-ladang untuk memeriksa sekiranya pekerja asing mempunyai dokumen yang sah atau tidak.

“Sebanyak 232 operasi telah dijalankan di Sarawak dari Januari
hingga April 2022. Melalui operasi tersebut, seramai 1,047 PATI berjaya ditangkap dan 17 majikan telah didakwa,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru