Friday, July 1, 2022

Kepercayaan rakyat tentukan hala tuju Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Whip Dun Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Ibrahim Baki menggesa rakyat Sarawak untuk mengekalkan kestabilan politik di negeri ini.

Beliau berkata, ia juga terbukti pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 lalu yang menyaksikan GPS diberi mandat sangat besar dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri.

“Dengan ini, kita berupaya menetapkan hala tuju sendiri, tidak perlu lagi kita merujuk Semenanjung Malaysia dari segi politik. “Kita ada autonomi dan hala tuju politik sendiri dan ternyata rakyat faham akan konsep tersebut,” katanya ketika berucap pada program Mesyuarat Perwakilan Tritahunan Parti PBB Cawangan N8 Satok Sesi 2022-2025 dan Ramah-Tamah Aidilfitri di sini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ibrahim yang juga Adun Satok berkata, dengan kepercayaan rakyat memberi sokongan kepada GPS, ia akan mampu menjadikan GPS membuat keputusan demi masa depan politik di negeri ini.

“Contohnya apabila Sarawak memilih untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk gabungan politik baharu. “Ia terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP),” katanya lagi.

Sementara itu, pada mesyuarat perwakilan tiga tahun sekali PBB Satok yang diadakan pada hari yang sama, beliau berkata proses pemilihan pemegang jawatan baharu berjalan lancar. “Pertandingan jawatan ini diadakan secara mesra dan tidak menggugat perpaduan ahli parti,” katanya.

Pada masa sama, Ibrahim turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pemuda PBB Satok Dzamaludin Zainuddin dan Ketua Wanita PBB Satok yang telah lama berkhidmat, Datuk Dayang Madinah Tun Openg.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru