Friday, July 1, 2022

Fadillah bakal dicalon semula di Petra Jaya

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf kekal sebagai calon di Petra Jaya pada PRU Ke-15.

Premier Sarawak itu berkata, kemungkinan Naib Presiden Kanan Parti PBB berkenaan dinamakan semula mempertahankan kerusinya. “GPS meletakkan semua calonnya di 31 kerusi Parlimen Sarawak dengan harapan parti itu bersatu untuk menjadikan Fadillah menang besar pada pilihan raya umum nanti.

“Fadillah sudah pasti menang besar dan kita akan teruskan usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri yang boleh menyumbang kepada kestabilan politik negara,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tritahunan Parti PBB Cawangan N8 Satok Sesi 2022-2025 dan RamahTamah Aidilfitri di sini.

Abang Johari menambah, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, rakyat menyaksikan berlakunya ketidakstabilan politik di dalam negara yang menyebabkan beberapa perdana menteri bertukar.

Justeru demi kestabilan negara, GPS sebulat suara memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. “Semoga ia akan terus stabil.. dan pada pilihan raya akan datang, kita akan membantu mereka dalam menstabilkan politik, negara dan pentadbiran. “Oleh itu, kita mesti mempunyai suara yang kuat melalui GPS. Dan untuk itu, GPS mesti memenangi 31 kerusi, jika boleh…kerana ini cara kita membantu negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari yang Presiden PBB memintaa ahli parti itu untuk menjaga PBB dengan baik. “Pemimpin mungkin berubah, tetapi semangat bersama parti mesti diteruskan.

Dengan itu saya percaya masa depan kita akan cerah, insya-Allah,” katanya. Pada PRU Ke -14, Fadillah yang ketika itu menjadi calon Barisan Nasional menang dengan mendapat 28,306 undian menentang Nor Irwan Ahmat Nor dari Pakatan Harapan yang mendapat 13,289 undi dengan majoriti undi sebanyak 15,017.

Beliau yang menawan Petra Jaya sejak 2004, pertama kali dilantik Menteri Kerja Raya oleh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 April 2009. Pada 9 Mac 2020, beliau menyandang semula jawatan itu atas lantikan Perdana Menteri yang kelapan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kemudian turut dilantik semula sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru