Friday, July 1, 2022

Beri kami cucu atau disaman RM2.8 juta

Secara Rawak

NEW DELHI: Sepasang suami isteri yang sudah bersara menyaman anak lelaki dan menantu mereka.

Suami isteri itu menuntut mereka melahirkan cucu dalam tempoh setahun atau membayar mereka 50 juta rupee (RM2.8 juta).

Sanjeev Ranjan Prasad, 61, pesara pegawai kerajaan memberitahu pihak media, ia merupakan isu emosi dan sensitif baginya dan isterinya, Sadhana Prasad serta mereka tidak boleh menunggu lagi.

Anak lelaki mereka, seorang juruterbang berkahwin enam tahun lalu.

“Kami mahukan cucu lelaki atau cucu perempuan dalam tempoh setahun atau diberikan pampasan, kerana saya menghabiskan sumber pendapatan hidup saya untuk pendidikan anak saya,” kata Prasad kepada pemberita.

Prasad mendakwa dia membelanjakan 3.5 juta rupee (RM198,000) untuk latihan juruterbang anaknya di Amerika Syarikat.

“Isu utama ialah pada usia ini kita memerlukan cucu, tapi mereka (anak lelaki dan menantu perempuan saya) tidak memikirkan tentang kami,” kata Prasad.

“Kami menyuruhnya berkahwin dengan harapan kami bergembira menjadi datuk dan nenek serta mereka sudah berkahwin selama enam tahun” kata Prasad.

“Saya dan Sadhana merasakan walaupun kami mempunyai segala-galanya, tapi kami sebenarnya tidak mempunyai apa-apa.

“Kami tidak mendapat cinta dan kasih sayang dari tempat yang paling kami inginkan,” katanya.

Mahkamah menerima petisyen mereka dan menjadualkannya untuk pendengaran dalam masa terdekat ini lapor AP.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru