Friday, July 1, 2022

25 pendatang asing ditahan

Secara Rawak

KUCHING: Mengambil risiko memasuki negeri ini tanpa menggunakan saluran yang betul hanya mengundang padah.

Hal ini terbukti daripada kes terbaharu apabila 25 orang pendatang asing tanpa Izin (PATI) berbuat demikian.

Mereka ditahan dengan rampasan dianggarkan membabitkan dua kenderaan, wang tunai serta 11 telefon bimbit berjumlah RM 73,643.00 dalam dua serbuan berasingan di daerah Lundu semalam.

Menurut Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen), anggotanya telah mengesan dua buah kenderaan dari arah Malaysia menuju ke sempadan Indonesia yang dinaiki oleh dua lelaki dan seorang wanita melalui jalan ladang kelapa sawit, Tetangga Akrab sekitar 7 kilometer dari arah sempadan sekitar pukul 3.30 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki dan satu wanita tersebut yang bertindak sebagai tekong cuba menyeludup masuk 13 lagi PATI dari Indonesia ke negara ini yang terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita,” katanya menerusi kenyataan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) hari ini, sambil menambah mereka berusia antara 17 hingga 73 tahun.

Kesemua individu tersebut bersama-sama dengan barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laporan polis dibuat di Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut.

Dalam serbuan berasingan, anggota petugas berjaya mengesan sembilan individu mencurigakan di kawasan ladang kelapa sawit Rimbunan Hijau sekitar 150 meter dari sempadan sekitar jam 10.30 malam.

Kesemua mereka ditahan dan hasil pemeriksaan awal mendapati mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 16 hingga 48 tahun iaitu PATI warga Indonesia yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang yang dijumpai kecuali pakaian dan barangan peribadi yang disimpan di dalam beg.

Susulan itu, laporan polis dibuat pada pukul 12.30 pagi dan kesemua PATI telah diusir di Pos Semunying.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru