Friday, July 1, 2022

TYT: Politik matang landasan kestabilan di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak berkata, amalan politik yang matang menjadi tunjang utama keharmonian dan kestabilan negeri Sarawak.

Menurut Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meskipun Pilihan raya Negeri ke-12 telah dijalankan dalam tempoh yang sukar akibat penularan COVID-19, namun rakyat Sarawak telah berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Saya percaya rakyat telah membuat pilihan yang tepat kerana memilih sebuah kerajaan yang mantap dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan mereka.

“Saya bersyukur dan bangga kerana rakyat negeri ini kekal bersatu dan tenang dalam menghadapi tekanan wabak COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya.

“Saya bersyukur kerana tiada insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pilihan raya diadakan,’” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.

“Saya berbangga dengan keupayaan dan kemampuan jentera pilihanraya negeri yang telah berjaya melaksanakan proses pilihanraya dengan teratur dan berkesan,” katanya.

Beliau turut berkongsi rasa bangga terhadap rakyat di negeri ini dalam bersatu padu serta tenang menghadapi tekanan wabak COVID-19 yang bukan sahaja mencacat-celakan sistem kesihatan, namun turut menyebabkan ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Saya menyeru rakyat, terutamanya generasi muda terus mengekalkan suasana harmoni dan toleransi,” katanya.

Beliau menaruh keyakinan bahawa Premier Sarawak bersama jentera pentadbirannya akan terus memimpin Sarawak ke persada yang lebih tinggi.

“Kepercayaan rakyat Sarawak terhadap program dan usaha kerajaan persekutuan dan Sarawak dalam menangani wabak tersebut sangat ketara dan mempersiapkan negeri kita beralih ke fasa endemik.

“Saya menyeru kepada rakyat terutama generasi muda terus mengekalkan suasana harmoni dan toleransi,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru